Penjual Buah Terima Padah Langgar Kereta Polis Di Kedah

Antara barang yang dirampas
ALOR SETAR - Tindakan seorang lelaki melanggar belakang kereta peronda polis yang memintanya berhenti untuk pemeriksaan sebelum melarikan diri membawa padah apabila terbabas dan melanggar tiang lampu jalan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, pemandu kereta Proton Wira itu diekori dari arah Bukit Wang ke Taman Suria kira-kira jam 4 pagi, semalam.

“Pada mulanya, pihak polis telah meminta dia memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan kerana didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.

“Tetapi dia terus memecut kereta ke arah Taman Suria dan melanggar belakang kereta peronda polis berkenaan sebelum melarikan diri ke arah Kodiang,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, kereta yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an itu bagaimanapun terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang lampu.

“Kita telah buat pemeriksaan dalam kereta tersebut dan menemui sebuah beg silang berwarna hitam berada di tempat duduk penumpang hadapan.

“Pemeriksaan lanjut dalam beg itu turut menemui dua peket plastik lut sinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 3.80 gram dan satu peket plastik lut sinar dipercayai Syabu seberat 0.74 gram,” katanya.

Penjual buah-buahan yang beralamat di Kampung Megat Dewa, Kodiang itu kini direman selama empat hari.

Abd Rahim berkata, saringan awal terhadap lelaki itu adalah positif morfin dan tiada rekod dadah atau jenayah lampau.

Sumber: Sinar Harian