Kain pelikat dan selimut digunakan perompak untuk pecah masuk kediaman mangsa |
PADANG SERAI - Dua penduduk yang tinggal bersebelahan di Taman Lagenda,
di sini mengalami kerugian ribuan ringgit apabila kediaman mereka
dipecah masuk penjenayah, Sabtu lalu.
Penduduk, Mohd Aman Ghazali, 34, berkata, ketika kejadian dia
sekeluarga yang baru sahaja pulang dari kampung terkejut melihat pintu
hadapan kediamannya tidak berkunci.
Menurutnya, melihat keadaan itu, dia segera menghubungi tukang cuci
rumahnya kerana menyangka orang yang diupah itu lupa untuk mengunci
pintu selepas membersihkan kediamannya.
“Saya telefon tukang cuci rumah untuk bertanya sama ada dia lupa untuk
kunci pintu, namun jawapan yang diberikan membuatkan saya bertindak
memeriksa di ruang lain.
“Saya terkejut melihat ada tali yang dibuat daripada kain pelikat dan
selimut berjuntai dari siling ke lantai di ruang dapur,” katanya kepada
Sinar Harian.
Mohd Aman yang bekerja sebagai pengarah urusan di sebuah syarikat
berkata, apabila diperiksa ruangan lain, tiga bilik di kediaman itu
berselerak akibat digeledah perompak tersebut dan barangan kemas yang
disimpan di dalam laci almari turut hilang.
"Saya percaya perompak tersebut terlebih dahulu masuk ke rumah jiran
kerana kain selimut yang dijadikan tali adalah milik jiran,” katanya.
Manakala jiran yang turut menjadi mangsa, Mairol Anuar Bahari, 34,
berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan rumahnya dipecah masuk.
Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di Terengganu kerana bercuti
dan hanya mengetahui kediaman dipecah masuk selepas dihubungi jiran.
“Apa yang mengejutkan saya diberitahu perompak tersebut menggunakan
modus operandi dengan memecah masuk melalui siling rumah di bahagian
dapur,” katanya.
Mairol Anuar berkata, dia mendapati getah paip yang digunakan untuk
menyiram pokok bunga digunakan perompak sebagai tali untuk memasuki
rumahnya.
"Saya mengalami kerugian ribuan ringgit apabila dua beg tangan
berjenama, dua tabung milik anak dan wang tunai RM1,000 yang dijadikan
koleksi turut dikebas perompak berkenaan selain kerosakan di bahagian
siling rumah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian