New Delhi – Dua lelaki dihukum pukul dengan kasut lima kali dan
didenda 50,000 rupee (RM2,900) setiap seorang oleh jawatankuasa kampung
selepas didapati bersalah merogol remaja perempuan berusia 15 tahun
dalam hukuman yang menimbulkan kemarahan keluarga mangsa.
Keluarga mangsa menuduh jawatankuasa kampung itu cuba menutup kejadian dan membuat laporan polis berhubung keputusan berkenaan.
Menurut polis, mangsa diserang pada 12 Mei lalu di perkampungan
Zakopur ketika remaja itu pergi ke rumah jirannya bagi mengambil air
untuk keluarganya.
Dua lelaki itu merogolnya sebelum mengugut membunuh mangsa jika mengadu kejadian itu kepada sesiapa.
Mangsa bagaimanapun memberitahu keluarganya yang terus bersemuka dengan keluarga dua suspek terbabit.
Kes itu kemudian dibawa kepada jawatankuasa kampung dikenali sebagai panchayat untuk mendapat pengadilan sewajarnya.
Malangnya hukuman dicadangkan dianggap langsung tidak berpatutan menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis.
Kes berkenaan kini dalam siasatan. – Agensi