Pertandingan Selfie Bulu Ketiak Wanita?

ALOR SETAR - Di era dunia yang kian menghampiri zaman dan detik-detik akhirnya, macam-macam pula kerenah dan gelagat manusia yang semakin hari semakin merapu serta tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Terbaru di China, satu pertandingan secara dalam talian telah diadakan di mana ia meminta kaum hawa di negara itu memuat naik gambar bulu ketiak mereka di internet hingga menimbulkan pelbagai persepsi dan perdebatan hangat mengenai kedudukan martabat wanita.

Pertandingan tersebut yang dilakukan menerusi laman Weibo bermula pada pada 26 Mei lalu dan dilaporkan akan berakhir pada 26 Jun itu disyaratkan terbuka untuk wanita sahaja.

Walaupun menerima maklum balas yang kurang menggalakkan iaitu sekitar 40 penyertaan, hashtag #WomensArmpitHairCompetition itu bagaimanapun telah menarik minat lebih daripada 1.3 juta netizens yang mengemukakan pandangan masing-masing mengenai topik berkenaan.

Seorang aktivis hak asasi wanita, Xiao Meili, yang melancarkan peraduan itu menegaskan dalam satu temu bual telefon dengan New York Times bahawa dia tidak menggalakkan wanita untuk membiarkan bulu tumbuh di ketiak mereka.

Namun begitu, penganjur berkenaan sebaliknya mahu masyarakat mengelak daripada membuat tafsiran sendiri bagi mereka yang memilih untuk tidak bercukur.

"Lelaki mempunyai lebih banyak kebebasan dari segi apa yang perlu dilakukan dengan tubuh mereka. Jadi kita tidak harus berfikir perempuan yang mempunyai bulu di ketiak adalah menjijikkan, tidak bersih atau tidak cukup feminin," katanya.

Xiao turut mendakwa amalan mencukur bulu ketiak adalah satu konsep yang agak baru di China kerana baru sahaja dipopularkan sekitar tahun 1990an. -Kedahnews.com