Pesuruhjaya PAS Kedah Masih Belum Terima Surat Tawaran Dari PAS Pusat

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar
ALOR SETAR - Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar, mengesahkan bahawa beliau belum menerima sebarang surat tawaran berkaitan pelantikan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Pusat yang baru yang dijadual akan berlangsung pada hujung bulan ini.

Menjelaskan kedudukan beliau ketika ditemui pemberita selepas sidang Dewan Rakyat terhenti pada tengahari semalam, beliau turut dilapor enggan mengulas mengenai perkara yang masih belum dibincangkan tersebut.

"Saya tidak ada terima apa-apa surat tawaran daripada PAS Pusat setakat ini. Yang lain (Ahli PAS lain) saya tidak tahu.

"Saya tidak boleh mengulas mengenai sesuatu yang belum nyata," katanya ringkas sebagaimana yang dipetik dari portal Sinar Harian, semalam.

PAS difahamkan akan mengumumkan pelantikan AJK Pusat baharu serta biro-biro parti tersebut pada 21 Jun ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat PAS di Pejabat PAS Pusat Jalan Raja Laut di sini, malam semalam.

"Malam ini adalah mesyuarat pertama untuk mengesahkan beberapa cadangan seperti jawatankuasa tambahan dan lantikan lajnah. Perkara-perkara lain kita tidak bincang.

"Bagi lantikan baharu, dalam peruntukan ada enam tambahan jawatan yang akan diumumkan kemudian," kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan tersebut.

Mahfuz tewas bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu minggu lalu, sekaligus gagal mempertahankan jawatan yang disandangkan penggal lepas. -Kedahnews.com