Gambar Hiasan |
RAUB – Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini
terhadap pertuduhan meneroka tanah secara haram di Cameron Highlands
tahun lalu.
Pang Lian Por, 47, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan
iaitu menduduki, memotong, menanam, membina dan membersihkan tanah
kerajaan tanpa kebenaran yang sah di hadapan insinerator Kampung Raja,
Sungai Ikan, Mukim Telum di tanah tinggi itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10.30 pagi, 11 Dis
tahun lepas melibatkan kawasan seluas 43.3 ekar (17.32 hektar).
Dia didakwa mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang boleh
dihukum di bawah Seksyen 425 (1) kanun sama yang membawa hukuman denda
maksimum RM10,000 atau penjara maksimum setahun bagi setiap pertuduhan,
jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ellyna Othman menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Pang yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan RM10,000 bagi
setiap pertuduhan dikurangkan atas alasan dia tidak lagi mempunyai
pekerjaan.
“Saya orang susah. Saya berjanji akan hadir ke mahkamah setiap kali
kes ini dibicarakan,” katanya yang kelihatan tenang sepanjang prosiding
berlangsung.
Hakim Shahrizat Ismail membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 untuk
semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai ini
sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.
Tertuduh yang dipercayai menanam pelbagai jenis sayur di tanah itu sejak dua tahun lalu, membayar jaminan itu.
Isu penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands bagi tujuan
pertanian menggemparkan negara pada hujung tahun lalu, selepas ia
dipercayai mengakibatkan pelbagai kesan ke atas alam sekitar termasuk
insiden banjir lumpur dan tanah runtuh selain menyumbang ke arah
kebanjiran warga asing. – BERNAMA