Petronas Fokus Kekal Peneraju Global LNG

KUALA LUMPUR – Petronas akan terus menumpukan perniagaan gas cecair asli (LNG) untuk tempoh jangka panjang selain komited mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju LNG global biarpun berdepan cabaran penurunan harga minyak mentah sejak pertengahan tahun lepas.

Ketika berkongsi rasa optimisnya, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Huluannya, Datuk Wee Yeow Hin, turut menyifatkan LNG sebagai industri ‘hebat dan menarik’ serta mempunyai permintaan yang konsisten.

“Permintaan untuk LNG akan sentiasa ada. Malah, ia dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2035 iaitu daripada 210 juta tan pada 2010 kepada 500 juta tan pada 2030 dan mencecah 600 juta tan pada 2035,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurut Wee, ketika ini, ada kira-kira 30 projek bekalan LNG di peringkat global dan jumlah itu diunjur berlipat ganda kepada 60 projek menjelang 2030.

“Tahun ini misalnya, ada sebanyak 36 negara mengimport LNG dan ia dijangka meningkat kepada 50 negara menjelang 2030.

“Jepun, Korea dan Taiwan akan kekal sebagai pasaran besar dan penting namun pertumbuhan terbesar akan disumbangkan negara seperti India, China serta ASEAN,” katanya.

Sambil menegaskan bekalan LNG sebagai protfolio besar dalam perniagaan Petronas, Wee berkata, syarikat minyak dan gas nasional itu telah mencatat rekod pencapaian dalam hampir setiap rantaian nilainya yang membolehkan kumpulan itu memberi tumpuan jangka panjang bagi perniagaan itu berbanding cabaran jangka pendek dalam pasarannya.

Petronas juga akan menumpukan tiga bidang utama iaitu kapasiti bekalan; kepelbagaian, fleksibiliti sumber serta penetapan harga serta kebolehpercayaan yang menjadi kelebihan daya saing dimiliki kumpulan itu.

“Kami memiliki kepakaran yang menyeluruh iaitu daripada peringkat sumber sehinggalah pemasaran. Kami turut mengembangkan kepelbagaian bekalan secara geografi serta jenis sumber yang boleh memberi fleksibiliti dalam mekanisme penetapan harga serta saiz kontrak apabila permintaan tidak menentu,” katanya.

Jelas Wee, aspek kapasiti sewajarnya dititikberatkan jika Petronas mahu terus kekal sebagai penggiat global bagi jangka panjang.

Ketika ini, Petronas memiliki kapasiti LNG sebanyak 26 juta tan dan ia akan meningkat kepada 40 juta tan menjelang 2020.

“Kami agak bernasib baik kerana program eksplorasi sejak tiga hingga empat tahun lepas terbukti menghasilkan banyak penemuan medan gas di Malaysia.

“Simpanan gas kami di Malaysia adalah kira-kira 70 trilion kaki padu (TCF) gas dan kami mengeluarkan 2.0 TCF, setahun. Dengan adanya penemuan ini, kami kini mempunyai kira-kira 100 TCF,” katanya.

Petronas juga, kata Wee, memiliki lapan kereta api LNG yang telah beroperasi dan akan disusuli satu lagi lagi kereta api, tahun depan.

Ia turut memiliki dua kemudahan LNG terapung (FLNG) yang pertama seumpamanya di dunia dengan pengeluaran pertama dalam spesifikasi LNG, dijangka pada suku pertama tahun depan.

“Di peringkat antarabangsa, kami memiliki LNG di Australia dan Kanada yang mana penghantarannya boleh dilakukan dari pelbagai pelusuk dunia. Kami juga mempunyai dua jenis sumber iaitu konvensional dan bukan konvensional. Di Australia, kami ada kilang gas arang batu manakala di Kanada adalah gas syal,” katanya.

Menurut Wee, Petronas memiliki kepelbagaian yang memberikan kumpulan itu kelebihan dari segi fleksibiliti bagi penetapan harga LNG miliknya serta keupayaan memenuhi permintaan pembeli berbeza, sekaligus menjamin kredibilitinya sebagai pembekal.

“Sebagai pembekal ke Korea, Jepun dan Taiwan, kami dilihat sebagai amat diyakini dan ini memberi kelebihan sebagai pembekal pilihan. Kami turut memiliki kelebihan dari segi jarak yang menjadikan kos penghantaran yang lebih murah,” katanya.

Bersandarkan jaminan bekalan dari pelbagai sumber, tebaran pilihan penetapan harga dan fleksibiliti tempoh kontrak, perkapalan serta penghantaran, Petronas kini bersedia untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pembekal utama LNG di peringkat global serta bagi jangka masa panjang.

Pada minggu lepas, Petronas membuktikan pencapaian bermaknanya selaku peneraju LNG apabila memaparkan model interaktif kedua-dua FLNG miliknya pada Persidangan Gas Sedunia Kali Ke-26 di Paris.

Lebih 100 negara dan 600 pertubuhan yang mewakili aspek teknikal, kejuruteraan, disiplin strategik dan komersial, mengambil bahagian dalam persidangan lima hari yang disifatkan perhimpunan terpenting bagi industri itu. – BERNAMA