KUALA LUMPUR – Akibat mencuri seutas jam tangan jenama Omega milik
seorang pelancong, seorang petugas kemasan hotel dipenjara empat hari
dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhi hukuman tersebut terhadap
Mohd Jazrul Abdul Rahim, 37, setelah dia mengaku bersalah mencuri jam
tangan bernilai RM20,580 itu milik pelancong Cina, Xu Runcheng, empat
hari lalu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh
dia ditangkap pada 4 Jun lepas dan mengembalikan jam tangan tersebut
kepada mangsa.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh gagal membayar denda itu.
Mohd Jazrul didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Nombor 716,
Hotel Geo, Jalan Hang Kasturi, di sini pada pukul 11.30 pagi, 4 Jun
lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, mangsa tertinggal jamnya di hotel selepas dia mendaftar keluar dari hotel tersebut.
Mangsa kemudian kembali semula ke hotel setelah menyedari ketiadaan
jam itu namun gagal menemui jam itu. Hasil siasatan polis mendapati
tertuduh mencuri jam tersebut.
Ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang memohon
mahkamah menjatuhi hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah insaf
dengan perbuatannya selain tertuduh yang masih bujang perlu menanggung
ibu bapanya yang sudah tua dan mempunyai pelbagai jenis penyakit.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam memohon mahkamah menjatuhi
hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan jenayah curi yang
berlaku di negara ini.- BERNAMA