Phahrolrazi Yakin Parti Barunya Tidak Akan "Mati", Kekal Kuat

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi
ALOR SETAR - Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi meluahkan rasa yakin beliau bahawa parti baru yang bakal ditubuhkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti mampu bertahan lama dan kekal hidup seperti parti-parti politik utama lain di negara ini.

Adun (PAS) Pengkalan Kundor itu berkata, parti berkenaan akan digerakan oleh NGO yang diketuainya akan terus berkembang maju menerima sokongan dari pelbagai pihak dan dilihat mampu menjadi sebuah parti yang kuat.

"Konsep parti baharu ini adalah lebih bersifat sederhana, ia terbuka kepada semua kaum di negara ini.

"Saya yakin ia sebuah parti yang kuat," katanya ketika sidang media PasMa yang dipetik dari portal Sinar Harian.

Jelas Phahrolrazi lagi, keyakinan terhadap masa depan parti baru itu yang cerah adalah disebabkan konsep parti tersebut dikatakan sangat sesuai dengan konsep politik dinamik yang berlaku di negara ini.

Beliau sebelum ini mengumumkan NGOnya bakal menubuhkan sebuah parti politik baru selepas Aidilfitri ini sambil menegaskan bahawa PasMa yang diketuainya akan terus kekal berstatus badan bukan kerajaan.

Dengan penubuhan parti tersebut nanti, Phahrolrazi dijangka berdepan dengan tindakan disiplin dari PAS yang dilihat mempengaruhi dan memecah-belahkan sebilangan ahli parti tersebut. -Kedahnews.com