Presiden Recep Tayyip Erdogan |
ANKARA - Parti pemerintah Turki kehilangan majoriti
dalam pilihan raya umum pada Ahad sekali gus kekalahan teruk terhadap
Presiden Recep Tayyip Erdogan setelah 80 peratus kertas undi selesai
muktamad dikira.
Keputusan cukup memalukan beliau itu disifatkan penganalisis politik
sebagai protes rakyat Turki susulan hasrat Erdogan mahu mengubah
perlembagaan negara yang akan memberi presiden lebih banyak kuasa
politik.
Parti Keadilan dan Pembangunan Islam (AKP) yang dipimpin Erdogan,
dilaporkan baharu meraih kira-kira 41 peratus undi, turun drastik
daripada hampir 50 peratus yang diperoleh ketika pilihan raya pada tahun
2011.
Hasil kiraan sehingga awal pagi Isnin menunjukkan AKP sah menang 267
kerusi dalam parlimen Turki yang memiliki keanggotaan 550 kerusi, iaitu
di bawah paras minimum yang perlu untuk mempertahankan majoriti.
Parti Rakyat Demokratik (HDP) yang pro-Kurdish berjaya meraih 10
peratus undi, sekali gus membuka peluang untuk bergabung di parlimen
buat pertama kali dalam sejarah apabila dijangka mungkin mendapat 74
kerusi.
Erdogan giat berkempen untuk pembentukan sebuah ‘Turki Baharu’ dan
penambahbaikan sistem demokrasi parlimen termasuk memberi kuasa lebih
kepada presiden seperti yang dilaksanakan di Amerika Syarikat.
Sebaliknya, keputusan pilihan raya itu bakal menyebabkan Erdogan
perlu membentuk pemerintahan gabungan pelbagai parti untuk pertama
kalinya sejak ia mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2002.
Penganalisis tempatan menyatakan parti nasionalis MHP, yang
diperkirakan berjaya meraih 85 kerusi dalam pilihan raya, kini mempunyai
peluang terbesar untuk membentuk pemerintahan bersama dengan parti
Erdogan.
Namun MHP mendakwa masih terlalu awal untuk mengetahui apakah hal
tersebut akan terjadi kerana pilihan raya itu secara efektif adalah
seumpama referendum yang akan memberi AKP kuasa majoriti di parlimen
Turki.
Justeru, parti-parti pembangkang berkempen keras menentang perubahan
tersebut dengan menghasut rakyat bahawa perubahan perlembagaan secara
signifikan akan mengubah warisan sistem demokrasi parlimen Turki.
Mereka berjaya memperbesar-besarkan dakyah kononnya kekuasaan Erdogan
yang terlalu luas sehingga menjadi pemimpin politik paling kuat di
negara itu adalah berbahaya dan amat tidak baik kepada nasib masa depan
rakyat.
Lebih 53 juta pemilih keluar mengundi dan jika AKP menang 367 kerusi,
parti itu boleh mengubah perlembagaan Turki tanpa perlu melakukan
referendum atau proses pungutan suara. – Agensi