PUTRAJAYA – Pindaan Akta Kanak-Kanak 2011, bakal melibatkan lebih 70
peratus pindaan termasuk hukuman lebih berat serta cara menangani isu
jenayah terhadap kanak-kanak, dijangka dibentangkan di Parlimen Oktober
ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani
Abdul Karim berkata Jabatan Peguam Negara sedang meneliti cadangan
pindaan akta itu.
Beliau berkata setelah beberapa sesi dialog dan perbincangan mendapati orang ramai mahu pindaan akta itu disegerakan.
“Kita juga mahu memastikan akta ini lebih inklusif,” katanya kepada
pemberita selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.
Rohani berkata pindaan akta itu perlu bagi mengikut peredaran masa
kerana banyak perkara baharu telah berlaku dan antaranya pengabaian,
penganiayaan dan perlindungan secara dalam talian yang perlu dimasukkan.
Beliau berkata taklimat kepada anggota Parlimen akan dibuat sebelum pembentangan pindaan itu dilakukan.
“Supaya ketika membahas, mereka tahu tentang akta itu. Ia (pindaan) perlu dipersetujui sebulat suara,” katanya. – BERNAMA