PKR Bantah Ahmad Jauhari Dilantik Jadi Lembaga Pengarah MAS, Suruh Kaji Semula

Ahmad Jauhari Yahya
ALOR SETAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah keras pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat penerbangan itu.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya mendakwa, tiada justifikasi untuk Ahmad Jauhari menjadi sebahagian daripada Ahli Lembaga Pengarah MAS berdasarkan prestasinya semasa menjadi CEO.

"Berdasarkan laman web MAS, Ahmad Jauhari dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada Mei 2015 selepas jawatannya sebagai CEO tamat pada April 2015.

"Semasa Ahmad Jauhari menjadi CEO untuk tiga bulan pertama pada 2011, MAS mencatatkan kerugian lebih RM1.3 bilion. Kerugian bersih untuk kewangan 2011 RM2.52 bilion. 

"MAS kemudian merekodkan kerugian RM430 juta pada 2012 diikuti RM1.168 bilion pada 2013. Pada 2014, kerugian sehingga 31 September dicatatkan RM1.32 bilion," dakwanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Justeru, Nurul Izzah mendakwa, pelantikan Ahmad Jauhari sebagai Ahli Lembaga Pengarah MAS merupakan satu skandal kerana individu tersebut kononnya bertangguungjawab atas kegagalan syarikat itu dibawa balik ke dalam MAS.

Dakwa beliau, sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Ahmad Jauhari akan mempunyai pengaruh ke atas CEO baharu MAS untuk melindungi legasinya.

“Saya meminta pelantikan Ahmad Jauhari dikaji semula dan meminta Khazanah Nasional menjelaskan kriteria dalam melantik Lembaga Pengarah MAS,” katanya. -Kedahnews.com