ALOR SETAR - PKR mendakwa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami masalah kesihatan yang serius yang kononnya perlu dibebaskan dari menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, sebaliknya menjalani "hukuman" di rumah sahaja.
Pemimpin PKR yang juga merupakan peguam Anwar, R.Sivarasa berkata, Anwar perlu dikeluarkan dari penjara dan menjalani tahanan kediaman dengan kadar segera, dengan alasan supaya ketuanya itu boleh menemui doktor sendiri untuk mendapatkan rawatan di rumah.
"Paling tidak pun, jika tahanan kediaman tidak dibenarkan, beliau perlu dihantar ke hospital untuk jangka masa yang secukupnya untuk memastikan rawatan sepenuhnya diberi kepada beliau," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Sivarasa yang menyenarai penuh semua penyakit yang dihidap Anwar, penyakit banduan penjara yang sedang menjalani hukuman 5 tahun penjara itu telah dimaklumkan secara lisan oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat Ketua Umum PKR tersebut awal bulan ini.
"Para doktor melaporkan secara lisan beliau memerlukan penilaian dan rawatan lebih lanjut termasuk berkaitan tekanan darah tidak menentu, ketumbuhan `4 cm’ di buah pinggang yang memerlukan CT scan, gastritis yang memerlukan diet tanpa gluten dan otot bahu yang koyak serta artritis kronik yang memerlukan fisioterapi intensif.
"Anwar juga telah kehilangan 6 kilogram sejak beliau dipenjarakan. Penjara tiada kemudahan untuk ujian atau rawatan bagi keadaan kesihatan Anwar sekarang," dakwa peguam itu dalam satu kenyataan tersebut. -Kedahnews.com