Tol PLUS |
KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol
sehingga 50 peratus kepada pengguna lebuh raya itu yang membayar secara
elektronik pada hari tertentu bermula 13 Julai ini sempena Hari Raya
Aidilfitri.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid berkata rebat tol itu
ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara
elektronik pada hari-hari bukan puncak iaitu pada 13, 14, 15, 21, 22 dan
23 Julai.
“Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk
perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari-hari
tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Beliau berkata rebat tol sebanyak 50 peratus itu akan diberikan pada
hari 13 dan 23 Julai sahaja, manakala pada 14 dan 22 Julai, orang ramai
akan menerima rebat tol sebanyak 40 peratus.
Sementara itu, rebat tol 30 peratus pula akan diberikan kepada orang ramai pada 15 dan 21 Julai.
“Pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS
untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai bergerak pulang
ke kampung sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kembali ke bandar selepas
berhari raya,” katanya.
Tambah beliau, PLUS juga akan mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu
Perjalanan (TTA) dalam membantu orang ramai menikmati perjalanan yang
lebih selesa pada musim perayaan. – BERNAMA