PM Singapura Hantar Surat Penghargaan Kepada Kerajaan Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendukung anak mendiang Robbi Sapinggi, iaitu malim gunung yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di sini hari ini. - Foto BERNAMA
KUNDASANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong telah menghantar surat bagi menyatakan rasa penghargaan negara itu kepada Malaysia atas segala usaha membantu rakyat Singapura yang menjadi mangsa gempa bumi di Sabah.

Najib berkata beliau juga telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Singapura itu bagi menyampaikan rasa sedih dan takziah rakyat Malaysia terhadap tragedi yang menimpa rakyatnya akibat gempa bumi berkenaan ketika melancong di Kundasang, Ranau, Sabah.

“…surat daripada Perdana Menteri Singapura itu melahirkan penghargaan kepada kerajaan pusat dan negeri atas bantuan dan pertolongan yang telah diberikan kepada mangsa tragedi gempa bumi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada mangsa dan waris mangsa gempa bumi di sini hari ini.

Najib berkata beliau telah memendekkan lawatannya di Arab Saudi bagi membolehkan beliau melawat Sabah dan meninjau kesan gempa bumi yang melanda negeri ini.

“Saya memanglah berniat untuk datang lebih awal lagi setelah berita gempa bumi diketahui pada 5 Jun lalu namun oleh kerana hari esoknya (6 Jun) hari Keputeraan Yang Di-pertuan Agong dan kemudian terpaksa melakukan lawatan rasmi ke negara Arab Saudi.

“Pagi ini, saya putuskan, walaupun ada satu mesyarat dengan menteri besar dan ketua-ketua menteri, saya telah menangguhkan mesyuarat tersebut supaya saya dapat datang ke Ranau ini juga. 

"Saya hendak mengatakan walaupun dalam keadaan senang ataupun susah kerajaan pusat akan tetap bersama-sama dengan rakyat Sabah,” katanya.

Selain diberi taklimat mengenai situasi terkini bencana gempa bumi di Sabah, beliau juga berkesempatan melawat kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau untuk melihat kerosakan yang dialami premis berkenaan serta melawat penghuni perumahan polis itu yang memasang khemah di perkarangan IPD berkenaan.

Najib diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. – BERNAMA