Manuskrip al Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk karya Imam Al-Ghazali |
Akan tetapi jarang melihat al-Ghazali daripada perspektif pemikiran politiknya yang sesungguhnya sentiasa relevan dengan situasi dalam negara terutama berkenaanpolitik.
Salah satu aspek penting dalam pemikiran al-Ghazali yang masih relevan di mana sahaja dan dalam keadaan apapun ialah tuntutan politik moral sebagai asas yang mesti dipegang oleh ahli politik atau pembuat dasar kerajaan.
Selain di kenali di dunia Islam sebagai "peletak dasar" dunia tasawuf yang tidak tercampur dengan anasir khurafat dan bai’ah yang keterlaluan, al-Ghazali turut dikenali dalam khazanah intelektual Islam sebagai pengasas politik moral dalam praktik politik dan kenegaraan.
Gesaan mengamalkan politik moral ini diperlihatkan melalui peranan al-Ghazali menasihati Sultan menerusi karyanya al Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk, yang kemudian menjadi buku rujukan penting dalam memberi pandangan kepada pihak penguasa sesebuah negara.
Seruan al-Ghazali untuk mengamalkan politik bermoral amat munasabah terutama jika dikaitkan dengan situasi politik tanah air dewasa ini yang dikatakan mengalami "defisit moral" dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat dan negara.
Hal ini dapat dilihat dengan tercetusnya rentetan kes rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, tidak telus, mengutamakan kroni dalam tender dan sebagainya yang kebelakangan ini semakin marak berlaku.
Dalam pandangannya, al-Ghazali menyatakan bahawa krisis politik yang berlaku dalam kalangan pemerintah berpunca daripada terhakisnya nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi raison de ‘etre pemegang kekuasaan di dalam sesebuah negara.
Bagi membaiki sistem politik dan perilaku penguasa yang mengalami defisit moral, menurut al-Ghazali, tidak ada cara lain selain melakukan reformasi moral secara menyeluruh kerana itu merupakan tuntutan syariat.
Dalam hal ini, al-Ghazali mencadangkan kaum cendekiawan dan ulama memainkan peranan sebagai penyampai nasihat atau pihak yang berani menegur penguasa.
Peranan intelektual dan ulama menurut al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin; ”Seorang ulama ialah orang yang menguasai aturan-aturan politik Islam dan mengetahui cara sebagai penghubung antara penguasa jika berselisih dengan hukum yang tidak benar. Maka seorang ulama hendaknya menjadi guru dan membimbing penguasa”.
Al-Ghazali turut menekankan peranan ulama sebagai agen perubahan dalam sesebuah negara dan ulama berperanan memberikan nasihat yang betul kepada pihak berkuasa.
Dalam situasi ini, Malaysia menginstitusikan kedudukan ulama manakala setiap keputusan yang dibuat oleh ulama secara musyawarah dijadikan sebagai panduan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pada asasnya, apa yang berlaku di Malaysia hari ini bukanlah isu baharu.
Hakikatnya, isu ini sudah pun wujud pada zaman al-Ghazali yang menyaksikan berlakunya "pergaduhan politik" mahupun penyelewengan akidah melalui serangan pemikiran kelompok Syiah Batiniyah pada era pemerintahan Saljuk.
Hari ini Malaysia menghadapi situasi yang hampir sama di mana pelbagai aliran pemikiran menyeleweng cuba untuk menghuru-hara keharmonian manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diiktiraf sebagai mazhab rasmi negara.
Jika pada era al-Ghazali, serangan akidah dilakukan oleh satu pihak iaitu Syiah Batiniyah, situasi yang dihadapi Malaysia hari ini lebih rencam dengan kemunculan pelbagai aliran seperti Syiah, Wahabi dan Salafi Jihadi (neo-khawarij).
Belum lagi percubaan menyelewengkan akidah umat Islam yang datang daripada faktor luaran seperti fahaman liberalisme, sekularisme dan pluralisme yang mengancam dan menggugat fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah menjadi manhaj menekankan kepada keharmonian, kebijaksanaan dakwah dan ketulenan ajaran Islam.
Melangkaui
Bentuk politik moral yang digagaskan al-Ghazali ialah kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara.
Dalam usaha menguruskan negara, al-Ghazali menjelaskan falsafah politik hendaklah berteraskan kepada membentuk perpaduan dan memacu kemajuan bagi membolehkan rakyat hidup selesa dan tenteram.
Oleh sebab itu, al-Ghazali menolak menggunakan cara-cara keganasan dan yang bersifat revolusi bagi memperbetulkan penyelewengan yang dilakukan oleh penguasa.
Apatah lagi dengan cara mengheret rakyat awam untuk menggugat pemerintah hanya demi nafsu politik pihak-pihak tertentu yang telah berputus asa dengan mekanisme demokrasi mahupun ketentuan suratan takdir.
Al-Ghazali menekankan aspek keharmonian dan kestabilan situasi negara sebagai asas utamanya.
Sekiranya penguasa melakukan penyelewengan, al-Ghazali mengesyorkan supaya menegur dengan tiga cara iaitu, melakukan kritik, menulis surat dan terakhir menjauhkan diri atau memutus hubungan dengan penguasa.
Dalam konteks hari ini, memutus hubungan boleh diterjemahkan dalam bentuk tidak mengundi lagi parti berkenaan dalam pilihan raya akan datang.
Berkonsepkan kepada itulah al-Ghazali mendefinisikan politik atau siasah ialah menambah baik urusan manusia dengan memacu jalan yang lurus bagi meneruskan kehidupan selaras dengan prinsip menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran.
Dengan menggunakan rangka falsafah politik itu, sekurang-kurangnya dapatlah kita menilai apakah realiti politik yang berlaku di Malaysia setelah beberapa kaedah yang dilaksanakan oleh parti politik semakin menipis dengan peraturan adab dan nilai-nilai moral.
Al-Ghazali telah meletakkan asas yang konsisten mengenai negara, iaitu kemaslahatan setiap umat manusia. Ciri-ciri inilah sebenarnya yang menjadi tunjang pembangunan politik Malaysia hingga sekarang.
Proses pemenuhannya dilaksanakan menerusi perencanaan bersungguh-sungguh membangunkan semua aspek berhubungan dengan kehidupan manusia, dari penyediaan infrastruktur, jaringan keselamatan sosial, kesihatan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan kesaksamaan ekonomi.
Sudah sewajarnya, pemimpin di Malaysia, siapapun dan daripada parti manapun untuk secara sungguh-sungguh menerapkan pemikiran yang telah digariskan oleh Al Ghazali dalam mengurus negara.
Hal ini kerana hakikatnya politik moral melangkaui politik kepartian dan ideologi politik tertentu yang terkadang hanya milik kelompok tertentu.
Pada satu pihak, politik moral merupakan antitesis kepada kecenderungan amalan politik Machivellian yang sekarang ini begitu berleluasa dalam kancah politik negara ini.
Pada pihak lain, politik moral merupakan landasan kepada terbentuknya sistem pemerintahan yang telus, bertanggungjawab, mementingkan rakyat dan sekali gus sebagai asas untuk menolak politik wang, rasuah, penyelewengan kuasa dan tindakan negatif yang lain. -Kedahnews.com
Sumber: Dr. Alies Anor Abdul, Penulis adalah Pengerusi PWTC dan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri/Utusan