Pondok Mewah Untuk Anak Orang-Orang Kaya


Bagi kebanyakan kanak-kanak, pondok kecil di belakang rumah sudah cukup menjadi tempat mereka bermain yang penuh dengan imaginasi.

Bagaimanapun, bagi pasangan popular Victoria dan David Beckham, pondok kecil seperti itu tidak cukup untuk menggembirakan anak bongsu mereka, Harper.

Pasangan itu dilaporkan merancang membina rumah permainan berharga £100,000 (RM563,000) untuk anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun itu di kediaman mereka di Kensington, Britain.


Namun, mereka bukan satu-satunya pasangan yang mempunyai cita rasa mewah terhadap rumah pokok untuk anak mereka bermain.

Kini terdapat sebuah syarikat yang membina pelbagai bentuk, rekaan dan saiz rumah pokok yang turut dilengkapi bilik rahsia, penyaman udara, televisyen dan kamera keselamatan.

Syarikat Blue Forest menawarkan perkhidmatan membina rumah pokok dan permainan mewah yang boleh mencapai kos sehingga £1 juta (RM5.6 juta) manakala versi bajet pula bermula dari £20,000 (RM112,000).


Pengarah Blue Forest, Simon Payne berkata, mereka pernah mendapat kontrak membina rumah pokok berharga lebih £500,000 (RM3 juta) dan projek komersial bernilai kira-kira £1.5 juta (RM8.5 juta).

“Kami turut memberikan beberapa sentuhan tambahan terbaik seperti gelongsor sepanjang 24 meter, sistem kawalan kamera keselamatan seperti dalam filem James Bond.

“Pelanggan juga boleh memilih untuk meletakkan pawagam peribadi, kolam air panas, menara seperti cerita dongeng dan terowong bawah tanah,” katanya.


Seperti pasangan Beckham, mereka dilaporkan mahu membuat ruangan khas untuk mereka sendiri di rumah permainan mewah Harper itu.

Kebanyakan rekaan terbaru syarikat itu turut menampilkan ruang untuk ibu bapa.

“Kebanyakan rumah pokok dan permainan, pelanggan mahu satu ruang untuk orang dewasa bagi memudahkan mereka duduk dan bergembira.

“Bagi pelanggan kami, masa adalah sumber yang amat berharga dan rumah pokok adalah pelaburan untuk keluarga mereka.

“Ia tempat yang hebat untuk menghabiskan masa lapang sambil melihat anak mereka bermain,” ujarnya.


Menurutnya, pelantar, jambatan tali, gelongsor, tiang bomba, buaian, terowong dan bilik rahsia antara ciri-ciri popular yang ditempah pelanggan.

Dalam sebuah rumah pokok mewah, ruangan untuk anak-anak dan ibu bapa dihubungkan dengan jambatan tali.

Bagi rumah permainan untuk kanak-kanak lelaki pula, bahagian belakang rak buku dijadikan laluan untuk ke bilik rahsia.

Sumber: myMetro