Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah |
ALOR SETAR - Penceramah dan pendakwah terkenal, Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah sekali lagi
membuat kenyataan panas apabila mendakwa golongan ultra kiasu meniru
taktik yang digunakan Tsun Tzu dan Hitler bagi menjatuhkan kepimpinan
UMNO dan PAS .
Menerusi ruang Buka Minda dalam akhbar Sinar Harian, beliau berkata, strategi perang saraf atau psywar dan strategi gerak saraf atau psyop digunakan untuk memburukkan kerajaan pusat dan menjatuhkan PAS, terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden.
“Dahulu ultra kiasu marah saya apabila memetik kata-kata Hitler, hari ini mereka menggunakan strategi Hitler,” katanya.
Menurut ahli akademik Universiti Pertahanan itu lagi, golongan
tersebut akan menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan pihak lawannya
dan akan memberi alasan andai sesuatu perkara merugikan mereka berlaku.
“Mereka akan gunakan apa jua cara, supaya kerajaan nampak buruk. Nak
tunjuk ikhlas konon. Bila ada isu yang merugikan mereka cepat-cepat beri
alasan.
“Misalnya, cadangan penempatan pelarian Rohingya di Pulau Pinang.
Mendengar sahaja cadangan tersebut, dengan pantas mereka menolak, di
pulau tidak sesuai tetapi di Tanah Besar.
“Isu-isu lain yang melibatkan kepentingan mereka akan disenyapkan
seperti isu arak, judi, kelab hiburan, zina, pelacuran dan lain-lain,” dakwa Ustaz Ridhuan Tee.
Selain itu, beliau turut merujuk situasi yang berlaku dalam Pakatan
Rakyat apabila golongan tersebut menggunakan Islam yang diperjuangkan
PAS sebagai senjata ampuh untuk menumbangkan Abdul Hadi.
“Katanya, agama Islam pentingkan sifat ramah, bukan marah. Apakah kita tidak boleh marahkan langsung?
“Apakah benar hudud tidak sesuai dalam masyarakat berbilang kaum?
Kenapa tidak melawat ke Brunei yang mempunyai hampir 30 peratus bukan
Islam?” persoal beliau.
Sementara itu, Ridhuan turut sinikal apabila berkata, andai Hudud
Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan, ia patut diputuskan oleh
mahkamah dan bukanlah golongan ultra kiasu kerana mereka bukan hakim.