Pulang Dari Jeddah, Najib Terus Terbang Ke Sabah


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan meninjau kawasan kejadian gempa bumi yang melanda Sabah, esok.

“Insya-Allah, pagi esok saya akan ke Sabah untuk melihat kawasan kejadian gempa bumi,” katanya dalam catatan terbaharu di blog beliau, NajibRazak.com, hari ini.

Menurutnya bantuan kewangan dan perkhidmatan kaunseling turut akan disediakan kepada mereka yang memerlukan.

Najib berkata peruntukan akan disalurkan bagi membaik pulih infrastruktur dan bangunan yang mengalami kerosakan.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lepas (5 Jun) itu turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Setakat semalam (Ahad), 16 orang disahkan terkorban akibat gempa bumi itu manakala dua lagi mangsa belum ditemui.

Dalam pada itu perdana menteri berkata beliau telah menyampaikan memorandum kepada kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah kuota jemaah haji Malaysia.

“Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Arab Saudi berjalan lancar. Saya telah menyampaikan memorandum kepada kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah kuota jemaah haji Malaysia.

“Semoga hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi akan memudahkan lagi umat Islam di Malaysia ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum ini melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi mulai Sabtu lepas. – BERNAMA