"Pulau Pinang Bukan Milik Pusaka Guan Eng, DAP!" - PAS

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
ALOR SETAR - Keadaan "retak menanti belah" di antara PAS dengan DAP semakin meruncing apabila PAS mencabar supaya DAP membuktikan kekuatannya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembubaran DUN Pulau Pinang adalah wajar bagi mengukur kemampuan DAP yang disifatkan sombong dan angkuh.

Malah kata Ahmad Amzad, negeri Pulau Pinang bukan milik harta pusaka Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang sebelum ini meminta PAS mengarahkan wakilnya mengosongkan jawatan di dalam kerajaan negeri DAP itu.

"DAP jangan terlalu angkuh. Jika benar mahu tahu kekuatan sebenar DAP tanpa sokongan PAS, cubalah bubarkan DUN Pulau Pinang sekarang dan tengok jawatan mana yang DAP boleh pegang dalam kerajaan yang baharu nanti.

"Masih boleh angkuh? Masih boleh sombong? Masih boleh tamak? Kalau mereka nak pecat, biar mereka pecat. Kita nak tengok rupa sebenar DAP...

"Begitu juga Pulau Pinang, ini milik rakyat, harta rakyat, bukan milik pusaka Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bukan milik DAP," katanya menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook rasmi Dewan Ulama PAS Pusat, semalam.

Mengulas lanjut Ahmad Amzad turut menasihatkan semua ahli dan pemimpin PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang supaya terus mempertahankan kedudukan jawatan masing-masing.

"Kita bukan mendapat jawatan atas belas kasihan DAP. Kita pegang jawatan kerana kita yang bantu naikkan mereka. Yang bermaruah adalah kita, yang sombong, angkuh dan tamak haloba adalah mereka," tegasnya membidas keras Setiausaha Agung DAP itu.

Ahmad Amzad berkata demikian bagi mengulas mengenai gesaan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP supaya pemimpin dan ahli PAS melepaskan pelbagai jawatan dalam kerajaan negeri pimpinannya.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merupakan individu pertama mengumumkan perletakan jawatan sebagai Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub.

Keputusan itu dibuat berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-61 menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam Pakatan Rakyat.

Turut mengikut jejak Mohamad ialah bekas AJK PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengumumkan peletakan jawatan ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab).

Kedua pemimpin itu merupakan calon-calon yang tewas ketika mempertahan jawatan di dalam PAS pada pemilihan parti itu, baru-baru ini. -Kedahnews.com