Putus Hubungan Dengan DAP: Tindakan "Bijak" Abdul Hadi Serah Pada Perwakilan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di Muktamar PAS kali ke-61 pagi tadi
ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak "bijak" apabila menyerahkan keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP kepada majoriti perwakilan PAS Pusat di Muktamar Tahunan PAS kali ke-61, hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi terhadap sebarang usul yang akan dibahas dan diputuskan oleh jemaah perwakilan di muktamar tersebut.

"Itu belum lagi satu keputusan muktamar. (PAS) Pusat belum lagi memilih siapa-siapa. Hanya usul sahaja belum lagi dibahas.

"Itu demokrasi dalam PAS.

"Saya serah kepada perwakilan," kata Hadi ketika mengadakan sidang media selepas berucap merasmikan muktamar parti itu di Kuala Selangor yang bermula hari ini.

Dewan Ulama PAS semalam sebulat suara meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan keputusan tersebut disambut dengan laungan takbir yang bergema, menggegarkan dewan muktamar itu.

Sementara itu, para perwakilan yang berucap di muktamar Dewan Pemuda PAS semalam turut menyaksikan ramai wakilnya yang mengecam dan mendesak pucuk pimpinan parti itu supaya memutuskan hubungan dengan DAP.

Malah melihat pada trend pucuk pimpinan Dewan Ulama dan Pemuda PAS yang baru semalam, turut membayangkan kebangkitan golongan ulama di dalam parti itu sekali gus menyingkirkan beberapa pemimpin yang dikatakan pro-DAP dan PKR sebelum ini.

Seluruh pemerhati politik tanahair kini memberi fokus pada pemilihan pucuk pimpinan PAS Pusat kali ini yang menyaksikan pertembungan dua aliran fahaman di dalam PAS berentap dan keputusannya dijangka bakal menentukan nasib perjuangan serta hala tuju parti itu seterusnya. -Kedahnews.com