Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail |
KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
diminta membuat kaji selidik keberkesanan pelbagai bentuk sumbangan,
termasuk zakat, daripada MAIPs kepada fakir miskin.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah kaji
selidik amat penting untuk mengetahui sumbangan yang diberi setiap tahun
itu benar-benar dapat meningkatkan pendapatan penerima atau mengubah
kehidupan mereka.
“Matlamat bantuan adalah untuk mengeluarkan golongan miskin yang
layak daripada kepompong kemiskinan. Beta berasa kecewa jika mereka
berterusan mengharapkan sumbangan MAIPs atau agensi lain,” titah baginda
pada majlis berbuka puasa anjuran MAIPs di Hotel Seri Malaysia di sini,
malam tadi.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku
Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs Tuanku
Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah: “Beta berpendapat lebih baik memberi
kail daripada memberi ikan supaya mereka berupaya berusaha sehingga
mampu berdikari dan menanggung keluarga sendiri.”
Titah baginda sumbangan zakat yang diterima MAIPs meningkat setiap
tahun dan agihan juga diperluaskan merangkumi bidang pendidikan namun
langkah proaktif untuk memperkasakan lagi program MAIPs tidak boleh
diabaikan.
Bersempena majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan
menganugerahkan surat tauliah ahli MAIPs yang baharu kepada Ketua Polis
Perlis SAC Shafie Ismail selain surat penghargaan kepada beberapa bekas
ahli majlis, antaranya bekas Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron.
Baginda turut menunaikan solat maghrib dan sunat tarawih bersama
hadirin yang diimamkan Pengurus Baitulmal MAIPs Mohd Nazim Noor. –
BERNAMA