Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah |
MARAN – Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
mengingatkan rakyat untuk terus menyokong kerajaan yang prihatin bagi
memastikan keamanan dan keharmonian negara terpelihara.
Baginda bertitah rakyat tidak seharusnya mudah mengikut mereka yang
berkepentingan, sehingga merugikan diri sendiri dan masa depan generasi
seterusnya.
Titah baginda lagi, tidak ada kerajaan yang sempurna atau tidak
melakukan kesilapan, namun kelemahan ini akan diperbaiki dan seharusnya
dilihat bersama-sama nilai positif yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Kita harus ingat pentingnya untuk pelihara keharmonian. Kerajaan
yang prihatin perlu kita sokong. Ini masa untuk kita tunjukkan sokongan
kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Menteri Besar
Pahang (Datuk Seri Adnan Yaakob).
“Tambahan pula perdana menteri berasal dari Pahang. Siapa lagi yang
hendak sokong jika bukan orang Pahang,” titah baginda pada Majlis
Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Pengurniaan Kepada Yang Memerlukan di
Kampung Lubuk Paku di sini, semalam.
Turut hadir Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah
Iskandariah dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd
Muttalib yang juga Anggota Parlimen Maran.
Tengku Abdullah juga menyeru rakyat untuk mengambil iktibar kekacauan
yang berlaku di beberapa negara Islam Timur Tengah yang bertelingkahan
sesama sendiri kerana tindakan itu merugikan agama.
Pada majlis itu, baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan kepada
200 penduduk sekitar Maran yang memerlukan bantuan dan sumbangan
bernilai RM73,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
kepada lima individu yang mengalami kecederaan semasa bekerja. – BERNAMA