Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail |
SATUN, (Selatan Thailand) – Masyarakat Thailand dan Malaysia di
sempadan kedua-dua negara diminta memperkasakan hubungan dan bekerjasama
dengan pihak berkuasa masing-masing bagi membanteras jenayah rentas
sempadan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah
melalui usaha berkenaan, pelbagai jenayah serius seperti penyeludupan
dan pengedaran dadah, senjata api serta pemerdagangan manusia di
sempadan dapat dibanteras dengan lebih berkesan.
“Kecurian kenderaan dan penyeludupan termasuk barangan larangan
seperti daun ketum dari Malaysia ke Thailand akan dapat ditangani
seandainya masyarakat di sempadan kedua-dua negara bersedia berkongsi
maklumat.
“Isu bersama seperti ini sewajarnya diperhebat dengan melibatkan
masyarakat tempat supaya punca dari akar umbi dapat dihapuskan,” titah
Tuanku Syed Faizuddin.
Baginda bertitah demikian pada majlis berbuka puasa sempena program
‘Ihya Ramadan’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Perlis (MAIPs) dan Majlis Agama Islam (MAI) Satun di Masjid Ban Kuan
(Kampung Guar) di sini, malam tadi.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen
Akashah Khalil.
Keberangkatan baginda berdua disambut Yang Dipertua
(YDP) MAI Satun, Harun Omarji dan imam masjid, Ali Natipan.
Turut hadir Gabenor Satun Dejrath Simsiri, Ketua Polis Perlis SAC
Shafie Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Hussin.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga YDP MAIPs bertitah hubungan
masyarakat tersebut boleh disemarak dan disuburkan melalui aktiviti
keagamaan, pendidikan, kebudayaan, sukan dan saling kunjung mengunjungi.
“Cara ini diyakini akan membentuk satu sistem perkongsian dan
penyaluran maklumat secara bijak dan pantas,” titah baginda dan menambah
pasukan keselamatan Malaysia-Thailand wajar mengadakan operasi bersama
lebih kerap terutama bagi mengenal pasti kawasan berisiko.
Baginda turut mengingatkan agar kedua-dua pihak memainkan peranan
dengan penuh tanggungjawab dan mengelak menimbulkan isu yang
mendatangkan ketegangan yang mengeruhkan hubungan antara kedua-dua
negara.
Sebelum itu baginda dan rombongan MAIPs singgah di masjid-masjid di
Pulau Panjang, Kampung Puyu, Tanjung Gabus dan Sekolah Rendah Pulau
Panjang untuk menyampaikan sumbangan MAIPs. – BERNAMA