Ramadhan Belum Tiba, Tapi Umat Islam Sudah Bergaduh Berebut Tapak Bazar?

Kredit Foto: The Rakyat Post
Belum pun tiba bulan Ramadhan Al-Mubarak, namun seluruh masyarakat sudah mula membuat persediaan bagi menghadapi tuntutan berpuasa sebulan sebelum menjelangnya hari raya Aidilfitri.

Sayangnya, tindakan beberapa individu dilihat hanya mencemarkan kedatangan bulan yang mulia tersebut apabila tergamak bergaduh hanya gara-gara berebutkan lot tapak bazar Ramadhan.

Kejadian yang mengecewakan tersebut dikatakan telah berlaku di perkarangan pejabat Majlis Perbandaran Seremban (MPS) kelmarin.

bazar-650x400
Gambar Hiasan
Memetik laporan sebuah portal, insiden bermula kira-kira jam 2 petang apabila sekumpulan lelaki membuat provokasi ketika Pengerusi Persatuan Penjaja Uptown Dataran Senawang (PUDS) Razali Zakaria sedang melakukan sidang media.

Mereka dikatakan hadir untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap arahan untuk mengosongkan tapak Bazar Ramadan, lokasi mereka berniaga sejak tiga tahun yang lalu.

“Di tengah sidang media sedang berlangsung, sekumpulan samseng menimbulkan provokasi dan mengusir kami,” kata Razali.

Tidak lama selepas itu, perang mulut antara kedua pihak itu mula bertukar menjadi pergaduhan apabila punca sebenar didakwa telah dimulakan seorang pegawai MPS.

Kata Razali lagi, semua persediaan perniagaan untuk bulan Ramadan telahpun dibuat para peniaga PUDS dan mengharapkan untuk terus berniaga di kawasan tersebut.

“Wujud unsur hasad dengki dengan mencemarkan nama penjaja Uptown Dataran Senawang dan menggantikan mereka dengan sekumpulan kroni,” katanya lagi.

Ujarnya, masalah tersebut mula timbul setelah pihak pengurusan bahagian perlesenan MPS bertukar awal tahun ini.

“Kami tidak kisah untuk berkongsi lokasi berkenaan dengan peniaga lain, cuma lebih suka berniaga di tapak yang biasa,” katanya.

Namun demikian, lain pula cerita yang dikongsi oleh pihak satu lagi. 

Menurut Pengerusi Persatuan Penjaja Negeri Sembilan, Noor Hafiz Mohammad Razali, Razali yang hadir pada cabutan tapak bazar bertindak meninggalkan proses berkenaan dan tidak mencabut undi untuk 51 penjaja di bawahnya.

Kenyataan yang jelas bercanggah di antara satu sama lain itu menimbulkan ketegangan yang akhirnya mencemar kedatangan bulan penuh barakah itu?

Pada pandangan Kedahnews.com, biar apa pun masalah yang berlaku, tindakan bergaduh hanya disebabkan berebut tapak berniaga merupakan satu perkara yang memalukan, apatah lagi ia tejadi sesama umat Islam.

Justeru itu kami menyarankan agar kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian melalui kaedah "syura" supaya seluruh penjaja dapat memanfaatkan bulan mulia untuk mencari rezeki dan barakah-Nya. - Kedahnews.com