ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) meminta orang ramai membuat aduan terhadap peniaga
yang menaikan harga barang pada bulan Ramadan nanti.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata aduan
tersebut boleh disalurkan di lebih 600 pejabat penghulu dan penggawa di
seluruh negara.
Beliau berkata orang ramai perlu mengisi borang aduan yang disediakan
dengan butir peribadi yang lengkap bagi memudahkan penguat kuasa KPDNKK
mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit.
Pengadu tidak perlu bimbang kerana identiti mereka tidak akan
didedahkan, katanya pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Agung
Perwakilan Tahunan Koperasi Kospeta Malaysia Berhad di sini hari ini.
Ahmad Bashah berkata ini kerana setiap kali pada bulan Ramadan dan
musim perayaan peniaga yang tamak akan mengambil kesempatan dengan
menaikan harga yang tidak masuk akal sekaligus membebankan pengguna.
Katanya lebih 100,000 anggota skuad pengguna 1Malaysia juga akan
menjadi mata dan telinga pihak kementerian dengan melaporkan mengenai
perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga di negara ini. – BERNAMA