"Ramai Lagi Calon Melayu Yang Layak Ganti Tempat Dikosongkan PAS" - Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
ALOR SETAR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan bahawa ramai lagi calon di kalangan orang Melayu yang layak untuk mengisi kekosongan jawatan di dalam Kerajaan Negeri yang ditinggalkan pemimpin PAS.

Kata Guan Eng, kekosongan jawatan-jawatan tersebut akan diisi oleh orang Melayu yang bukan dari PAS.

"Kita mempunyai ramai lagi orang Melayu yang berkelayakan, justeru tiada masalah hendak isi kedudukan (dikosongkan).

"Jawatan itu akan kami isi dengan orang Melayu yang bukan daripada PAS, saya harap perkara ini jelas," kata Guan Eng sebagaimana yang dipetik dari Malaysiakini, hari ini.

Guan Eng mengulas mengenai keputusan Muktamar PAS kali ke-61 baru-baru ini yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa usul yang dipersetujui sebulat suara itu akan dibawa ke sidang Majlis Syura parti untuk dibahas dan diputuskan dalam masa yang terdekat.

"Usul itu sebenarnya diterima untuk dibawa ke Majlis Syura dan tidak buat keputusan di dalam muktamar.

"Seberapa segera yang dapat dilaksanakan," kata Abdul Hadi ketika ditanya media tentang tarikh perbincangan Majlis Syura berkenaan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Pemilihan PAS baru-baru ini menyaksikan golongan pro-ulama di dalam parti itu menang besar menewaskan para pemimpin PAS pro-Pakatan Rakyat sekaligus menyaksikan usul memutuskan hubungan dengan DAP gamat mendapat sokongan majoriti perwakilan.

Sebelum ini, AJK PAS Pusat yang menerima undian tertinggi untuk jawatan berkenaan, Nasruddin Hassan Tantawi turut menjelaskan bahawa hubungan DAP dengan partinya adalah ditahap "retak menanti belah".

Meskipun keputusan rasmi pemilihan PAS telah diumumkan, DAP masih lagi tidak putus-putus melancarka serangan demi serangan terhadap PAS walaupun parti itu menegaskan bahawa mereka masih setia bersama Pakatan Rakyat. -Kedahnews.com