"Ramai Orang Kurang Yakin, Mula Tinggalkan PAS" - Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad
ALOR SETAR - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberi amaran kata dua kepada PAS bahawa parti itu mungkin akan berpecah tidak sampai 100 hari sekiranya tidak kembali menjadi lebih inklusif dalam tempoh terdekat ini.

Malah katanya, PAS juga berhadapan dengan kemungkinan penubuhan sebuah parti baru berkonsepkan Islam yang mirip parti tersebut meskipun belum tahu tentang hala tuju parti berkenaan.

"Saya bimbang rakyat tidak akan menunggu sehingga 100 hari. Saya rasa ramai orang mula meninggalkan PAS atau kurang keyakinan terhadap PAS," kata Khalid dalam satu kenyataannya kepada media.

Kata Khalid lagi, kata dua yang ditujukan kepada kepimpinan baru PAS itu adalah selari dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang meminta agar barisan baru yang terpilih diberi tempoh selama 100 hari untuk membuktikan kemampuan mereka.

Selain itu, beliau turut mengimbas kembali amalan ketika PAS berada di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor mereka menerima pakai pendekatan inklusif.

"Ada perpaduan dalam keahlian. Mereka sangat ikhlas dengan NGO dan parti-parti komponen kedua-dua Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen PAS yang tewas dan tersingkir dalam pemilihan parti itu menafikan bahawa penubuhan sebuah parti baru yang sedang hangat diperkatakan mempunyai apa-apa kaitan dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang juga merupakan Adun PAS Pengkalan Kundor sebelum ini memaklumkan pihaknya dijangka akan menubuhkan parti baru selepas Aidilfitri, Julai ini. -Kedahnews.com