Rebut Peluang Tambah Pahala Ramadhan Ini..!

BAGI umat Islam, bulan Ramadan adalah bulan yang amat istimewa. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan, selain banyak lagi kelebihannya.

Ramadan merupakan bulan turunnya al-Quran, didirikan solat sunat tarawih, pembukaan kota Mekah, pintu neraka ditutup pintu syurga dibuka dan terjadinya perang Badar.

Bagi sekumpulan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berpeluang berpuasa dan menyambut Syawal di zon perang atau krisis kemanusiaan suatu yang tidak boleh dilupakan.

Bukan kerana kemusnahan akibat perbuatan manusia, tetapi kerana mereka dapat menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana umat Islam yang tinggal di zon tersebut meraikan bulan mulia itu.

“Ada perbezaan yang ketara jika dibandingkan di Malaysia. Di sana, zon perang, sedangkan Malaysia berada dalam keadaan aman dan damai,” kata mereka ketika ditemui sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Salah seorang yang ditemui, Sukarelawan Syria Care, Ahmad Nur Fatihi Abdul Ghani berkata, pernah timbul persoalan dalam mindanya bagaimana umat Islam di zon perang itu berpuasa.


Ini kerana, semasa berada di Syria seminggu sebelum bulan Ramadan pada 2013 bersama misi kemanusiaan Syria Care, dia melihat umat Islam di negara bergolak tersebut berada dalam suasana serba kekurangan.

Selain kekurangan bekalan makanan dan elektrik, mereka juga sentiasa berada dalam ketakutan kerana risiko diserang oleh puak bertelagah pada bila-bila masa sahaja.

“Semasa di sana, bukan hanya bunyi bom dan tembakan kedengaran setiap masa tetapi penduduk di kawasan itu turut diserang dari pelbagai penjuru, iaitu melalui darat dan udara.

“Sehinggakan berada dalam rumah sekalipun belum tentu menjanjikan keselamatan. Penembak curi memang ada di mana-mana sahaja,” katanya.

Namun, Ahmad Nur Fatihi melahirkan rasa tenang apabila rata-rata penduduk di kawasan perang itu menunjukkan rasa syukur dan gembira ketika menerima hasil sumbangan rakyat Malaysia, sama ada dalam bentuk barangan atau wang ringgit.

Beliau menyifatkan sumbangan itu seolah-olah memberikan suatu harapan dan semangat untuk membolehkan mereka meraikan bulan Ramadan dengan sebaik mungkin.

“Mereka gembira apabila menerima sumbangan Syria Care itu. Walaupun mungkin tidak sebanyak yang mereka harapkan tetapi ia cukup untuk membolehkan mereka melaksanakan ibadat dengan rezeki Allah SWT yang tidak disangka-sangka,” katanya.

Ramadan terakhir

Ternyata suasana perang atau krisis kemanusiaan telah menjadi penduduknya, terutama di Gaza, menyifatkan kedatangan bulan Ramadan sebagai satu bulan yang perlu diraikan dengan sebaik mungkin.

Mereka perlu mengambil kesempatan bukan hanya bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT berikutan suasana yang dilalui, tetapi juga bimbang jika ia adalah Ramadan terakhir buat mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa melaksanakan puasa Ramadan dengan sepenuh keimanan dan hanya mengharapkan balasan daripada Allah, nescaya dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Sejajar dengan itu, Penyelaras Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Selangor, Zulhanis Zainol yang berkesempatan berpuasa di Gaza pada 2013 melihat bahawa masjid-masjid di Gaza sentiasa dipenuhi umat Islam untuk bersolat dan ibadat-ibadat sunat yang lain.

Biarpun situasi seperti kerap keputusan bekalan elektrik, tembakan serta bedilan meriam sering kedengaran dan bekalan makanan terhad, itu tidak menghalang mereka beriktikaf kepada Allah SWT.

Malahan kunjungan umat Islam di masjid menjadi lebih padat apabila menjelang hari-hari terakhir Ramadan. Mereka seolah-olah tidak takut jika masjid yang mereka kunjungi itu diserang oleh tentera Israel.

Zulhanis menambah, suasana itu seolah-olah mereka bersikap reda dengan apa yang akan menimpa diri atau ahli keluarga yang lain semasa mengimarahkan bulan mulia itu.

“Saya rasa kita kena belajar dengan mereka, khususnya tentang semangat Ramadan itu. Mereka begitu hargai Ramadan sebab mereka sedar selepas ini belum tentu lagi berpeluang menyambutnya,” katanya.

Kata Zulhanis, semangat berkobar-kobar umat Islam di sana dalam meraikan kedatangan Ramadan jauh berbeza dengan suasana di Malaysia. Ia sekali gus menolak apa yang tergambar dalam mindanya sebelum ini.

Ini kerana, beliau beranggapan dalam suasana berdepan dengan ancaman tentera Zionis tanpa mengira waktu dan tempat, penduduk Gaza akan lebih banyak menghabiskan masa dalam khemah pelarian atau runtuhan bangunan.

“Tetapi apa yang berlaku, memang di luar jangkaan saya. Orang mereka lebih bersemangat menyambut Ramadan. Suasana masjid juga berlainan dengan ramai yang mengimarahkannya dengan amalan-amalan solat, tadarus dan sebagainya,” katanya.

Perkara serupa turut diakui aktivis Aqsa Syarif, Dr. Abdul Rahman Mohmad yang berkesempatan berpuasa di Gaza pada 2012 mengakui merasai kemeriahan suasana malam sepanjang bulan Ramadan yang bukan hanya dipenuhi dengan solat tarawih dan tazkirah tetapi ibadat sunat lain, seperti membaca al-Quran.

Walaupun masjid dalam keadaan daif atau rosak kerana serangan tentera Israel, tetapi tetap penuh sepanjang bulan puasa itu, lebih-lebih lagi pada hari-hari terakhir Ramadan.

“Saya rasa mereka anggap Ramadan itu masa untuk perayaan dan sebab itulah, ia meriah sehingga hujung bulan dan pada 10 malam terakhir Ramadan, mereka akan membawa seluruh ahli keluarga ke masjid untuk beriktikaf.

“Berbeza dengan di negara kita, kita raikan hari raya Aidilfitri dan bukannya Ramadan. Sebab itulah, masjid hanya penuh di awal Ramadan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Abdul Rahman memberitahu suasana itu mungkin kerana penduduk Gaza sudah lali dengan ancaman tentera Israel.

Mereka tidak takut untuk keluar beribadat pada bulan Ramadan kerana beranggapan bahawa jika berasa takut bermakna mereka sudah kalah dari segi moral.

“Mereka tidak ada rasa takut. Mungkin mereka anggap kalau sudah ditakdirkan menemui maut, ia bukan sesuatu yang boleh dihalang.

“Ini kerana, apa yang penting mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk memperoleh kelebihan bulan Ramadan, seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT,” katanya. - Gambar ehsan Aqsa Syarif
dan Syria Care Malaysia

Jangan tangguh sumbangan di saat akhir

PENGURUS Besar Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki mengakui bahawa sikap dermawan umat Islam di Malaysia, khususnya pada bulan Ramadan amat menakjubkan.

Cuma, beliau menambah, apa yang merisaukan adalah sikap mereka adalah lebih gemar menghulurkan sumbangan pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

“Saya tegaskan bahawa kami ingin menyampaikan bantuan Ramadan sebelum tiba bulan mulia itu supaya rakyat Syria dapat membuat persediaan dengan lebih selesa bagi menyambut kedatangan bulan itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Tahun ini, Syria Care menyasarkan kutipan dana kira-kira RM14.8 juta bagi membantu penduduk Syria menjalani ibadat puasa di sepanjang bulan Ramadan.

Dana itu akan memberi manfaat hampir 20,000 orang di enam kawasan kritikal di Syria. Pihaknya turut menyediakan pek makanan untuk 14,500 keluarga di luar enam kawasan itu.

Enam kawasan itu adalah Idlib, Latakia, Timur Ghoutah, Barat Ghountah, Selatan Damsyik dan Homs.

Bagi yang berminat, boleh hubungi Syria Care di talian 03-5523 4077 atau layari laman sesawang www.syriacare.org.my.

Siti Sakinah berkata, pihak Syria Care memerlukan masa antara tiga hingga empat minggu bagi memastikan barangan atau wang untuk sampai kepada mangsa di kawasan itu.

Malah, tambahnya, ia juga turut melibatkan soal pengagihan bekalan itu kepada penduduk yang terlibat.

“Namun itu bergantung keadaan keselamatan di kawasan terbabit dan jika berlaku sebarang kecemasan, penghantaran itu akan tertangguh.

“Sebab itulah, kami perlu sumbangan yang awal kerana ia melibatkan proses penghantaran dan juga persediaan untuk memasak atau mengagih kepada penduduk yang terlibat,” katanya.

Peluang gandakan pahala sedekah

KEMPEN mengumpul dana untuk negara Islam yang bergolak sempena ketibaan bulan Ramadan pertengahan bulan ini bukan suatu yang baharu di negara ini.


Dikenali sebagai antara negara penyumbang dana yang aktif, kempen tersebut sering mendapat perhatian serius bukan hanya dalam kalangan individu tetapi juga syarikat korporat.

Lagipun, kempen itu sejajar dengan gesaan Islam sendiri yang menyeru umatnya membantu saudara seagama yang timpa musibah.

Antara NGO Islam yang terlibat dalam kempen itu adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan untuk tahun ini, mereka memfokuskan bantuan penduduk di empat kawasan di Syria yang terjejas teruk akibat perang saudara itu.

MenurutPenyelaras Mapim, Zulhanis Zainol, berdasarkan laporan berita tahun-tahun sebelum ini, bulan Ramadan dilaporkan paling kerap serangan dilakukan ke atas penduduk awam Syria.

Beliau berkata, antara kawasan yang dijangka menerima kesan paling teruk adalah empat kawasan yang terletak di tengah-tengah Syria itu adalah Azad, Alepo, Idlib dan Hama.

“Kami menyasarkan dana sebanyak RM3 juta tahun ini dan dijangka kira-kira 400,000 penduduk di empat kawasan itu akan mendapat manfaatnya,” katanya ketika ditemui di pejabat Mapim, Bangi, baru-baru ini.

Selain itu, dana tersebut akan digunakan untuk projek jangka panjang seperti pembinaan sebanyak 21 buah perigi, membuka enam buah klinik, sumbangan dua buah van ambulans, pengedaran pek makanan dan sebuah pusat latihan guru.

Mapim juga turut membuka semula 25 buah sekolah, mengaktifkan semula 20 buah masjid serta surau dan empat buah ladang yang kini dalam proses mengaktifkannya kembali.

Untuk musim sejuk, Mapim menyalurkan 200 alat pemanas dan 5,000 selimut tebal kepada penduduk Syria.

“Tahun ini dan sempena ketibaan bulan Ramadan ini, kami menyeru orang ramai supaya tidak menunggu di saat-saat akhir Ramadan untuk menyalurkan derma bagi memastikan bantuan itu tidak terputus.

“Dermawan Malaysia boleh menghubungi kami di talian 03-2691 0181 atau layari laman web rasmi Mapim iaitu www.tabungsyria.com,” katanya.

Pada masa sama, Mapim juga akan membawa sekumpulan imam dari Gaza dan Syria untuk mengepalai solat sunat tarawih di masjid atau surau tertentu di negara ini sepanjang bulan Ramadan.

Selesai solat tarawih, imam-imam tersebut akan berkongsi tentang suasana dan betapa perlunya bantuan masyarakat negara ini untuk meringankan beban penderitaan mereka.

“Kami akan menyediakan tabung serta mengedarkan risalah kempen kepada para jemaah yang hadir,” katanya.

Kelompok sasaran

Sementara itu, bagi Aqsa Syarif yang menyasarkan kutipan sebanyak RM3 juta untuk tahun ini. Tumpuan penyaluran sumbangan adalah kepada kawasan Gaza, Tebing Barat dan Lubnan.

Bagi memudahkan pengagihan bantuan Ramadan itu, Aqsa Syarif telah membahagikan mereka kepada kelompok tertentu iaitu anak yatim, orang tua, huffaz, keluarga syuhada, keluarga miskin, pekerja pembersih dan penganggur.

“Kira-kira 10,000 orang akan dapat manfaat daripada projek Ramadan itu tetapi tahun lepas, lebih 20,000 orang yang kami bantu kerana masa itu berlakunya perang di Gaza.

“Tetapi, kami tetap akan cuba mencari seberapa banyak mungkin dana,” kata Pengurus Projek Aqsa Syarif, Muhammad Hussaini Khairudin ketika ditemui di pejabatnya, Serdang, baru-baru ini.

Berbanding Ramadan sebelum ini, pada tahun ini penumpuan akan lebih banyak di kawasan Tebing Barat.

Ini kerana, bukan hanya di kawasan itulah terletaknya Masjid Al-Aqsa tetapi dilaporkan rejim Israel kini berusaha untuk merampas masjid suci ketiga umat Islam itu.

“Justeru, kami merasakan umat Islam di Tebing Barat perlu diberikan keutamaan sebagai satu sokongan untuk mereka terus berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa itu.

“Mungkin bulan Ramadan ini sebagai satu langkah permulaan penduduk Palestin mempertahankan masjid itu daripada dirampas Israel,” katanya.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh menghubungi Aqsa Syarif di talian 03-8941 2341.

Sumber: Utusan