Gambar hiasan |
ALOR SETAR – “Tiba-tiba seekor beruk keluar dari kawasan semak dan
terus terkam serta menggigit jari kaki saya. Saya terpaksa bergelut
dengan beruk itu selama dua minit sambil meronta-ronta dan menjerit
meminta tolong.
“Ketika itu apa saya ingat hanyalah saya akan mati. Tapi mujur ada
orang datang tolong saya,” kata Muhamad Redzuan Saidon, 13, yang menjadi
mangsa serangan beruk di Kampung Batin, Mergong dekat sini semalam.
Dia diselamatkan orang yang kebetulan melalui kawasan itu yang
membaling batu kepada haiwan tersebut dan menyebabkannya melarikan diri.
Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, Muhamad Redzuan sedang
menghantar adiknya Siti Nor Bahiyah, 8, untuk mengaji al-Quran di
Kampung Batin yang terletak berdekatan kampung mereka iaitu Kampung
Hutan Bentut.
Ibu mangsa Rosliza Jaafar, 42, yang sungguh sedih dengan kejadian itu
berkata dia sedang makan tengah hari apabila anaknya Siti Nor Bahiyah
tiba-tiba pulang ke rumah dalam keadaan menangis dan memberitahu
abangnya diserang beruk.
“Selepas diberitahu apa yang berlaku, saya terus bergegas ke tempat
kejadian dan kemudiannya membawa Muhamad Redzuan ke klinik. Saya juga
membuat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.
Muhamad Redzuan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan lanjut.
Beruk itu dilapor telah ditangkap pihak Jabatan Pertahanan Awam. – BERNAMA