Ridhuan Tee "Libas" A Samad Said Gara-Gara Pilih DAP

Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah
ALOR SETAR - Penceramah dan ahli akademik, Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah mengkritik tindakan Sasterawan Negara, A Samad Said yang enggan memilih wadah perjuangan PAS dan sebaliknya menyertai parti DAP.

Ujar Ridhuan yang merupakan salah seorang pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional, figura seni yang lebih dikenali sebagai Pak Samad itu seharusnya menyertai "parti yang boleh membawanya ke syurga".

 “Hebat Melayu Ultra Kiasu ini sehingga tidak memilih parti UMNO atau Pas sebagai wadah.
 
“Nasihat saya, bila berpolitik (atau bekerja) pastikan wadah politik boleh membawa kita ke syurga,” kritik Ridhuan yang sebelum ini sangat terkenal "membelasah" DAP yang digelarnya sebagai "chauvinis ultra kiasu".

Sindiran tersebut dilontarkan Ridhuan berikutan tindakan Pak Samad baru-baru ini yang mengumumkan menyertai DAP, malah sanggup menjadi ‘hamba’ parti itu serta menolak sebarang jawatan di dalam parti berkenaan.

Selain itu, beliau juga menyentuh isu pembinaan masjid yang dicanangkan oleh DAP di Kelantan.

“Macamlah Kerajaan Kelantan begitu haprak sehingga tidak mampu untuk membina masjid di buminya sendiri,” katanya lagi.

Katanya, pembinaan masjid di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dilakukan Kerajaan PAS Negeri Kelantan berdasarkan pada keperluan dan bukannya dibina sewenang-wenangnya.


Ridhuan turut memberi contoh pembinaan patung Buddha kedua terbesar di dunia yang dibuat di negeri tersebut walaupun penganutnya hanyalah mewakili golongan minoriti di negeri itu.

“Inilah toleransi umat Islam yang tidak ada di negara lain,” kata kolumnis Sinar Harian itu lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada PAS kerana tindakan berani membuat keputusan untuk menolak "dibuli" lagi, serta bersyukur kerana Pakatan Rakyat sudah menemui noktah.

Ujarnya lagi, memang tidak dinafikan bahawa UMNO mahupun PAS memerlukan sokongan bukan Islam untuk memerintah.

“Sebab itu, UMNO perlukan BN, PAS perlukan PR. Namun, dalam soal prinsip kita tidak boleh bertolak ansur,” tegas pendakwah itu. -Kedahnews.com