KUNDASANG – Majlis Penasihat Gunung Kinabalu melakukan satu upacara
‘Posogit’ hari ini yang mengikut kepercayaan penduduk tempatan bertujuan
menyeimbang dan mententeramkan ‘penjaga’ gunung susulan kejadian gempa
bumi di Ranau, pada 5 Jun lepas.
Upacara berkenaan diketuai seorang bobolian (dukun) dari Kampung
Bundu Tuhan, Abas Arinting, 93 tahun; bersama sepuluh ahli penasihat
dari kampung sama dan Kampung Kiau.
Seekor kerbau dikorbankan untuk upacara berkenaan yang berlangsung
selama 30 minit bermula 8.25 pagi di kawasan Timpohon, yang merupakan
lokasi pelepasan pendaki gunung Kinabalu di Taman Kinabalu.
Menurut kepercayaan penduduk kaum Dusun di sini, korban seekor kerbau itu untuk dipersembahkan kepada penunggu Gunung Kinabalu.
Bobolian turut menggunakan peralatan ‘lumai’ sebagai alat komunikasi
berhubung dengan penunggu gunung tertinggi di rantau Asia tenggara itu.
Penyelaras upacara, Johnny Ghani, berkata upacara ini bagi memulihkan
kesan ‘kemudaratan’ Gunung Kinabalu berikutan pelanggaran adat di
kawasan itu antaranya kejadian pelancong asing berbogel.
“Dalam bahasa tempatan, saya boleh katakan upacara ini bagi
memulihkan kesan kemudaratan yang tersirat di gunung Kinabalu dan
mengembalikan keadaan yang panas menjadi sejuk semula,” katanya kepada
pemberita selepas upacara itu.
Upacara dimulakan dengan bobolian mencari tempat sesuai melakukan
upacara itu diikuti penyembelihan seekor kerbau yang dikorbankan.
Hanya bahagian hati, jantung, sedikit daging dan hujung hidung kerbau
diambil untuk upacara itu manakala lebihan daging kerbau dimasak untuk
dijadikan juadah dalam majlis ringkas dihadiri penduduk kampung di Taman
Kinabalu.
Johnny yang merupakan ahli Penasihat Gunung Kinabalu berasal dari
Kampung Bundu Tuhan berkata pelaksanaan upacara itu juga bertujuan
memberi ketenangan dan keharmonian kehidupan penduduk di kawasan kaki
sekitar Gunung Kinabalu.
Sementara itu, Pengurus Taman Daratan Taman-Taman Sabah (TTS) Maipol
Spait berkata pelaksanaan upacara itu merupakan sumbangan pihaknya
kepada komuniti sekitar Gunung Kinabalu dalam usaha penjagaan adat
istiadat menerusi Majlis Penasihat Gunung Kinabalu.
Katanya bagi TTS, upacara itu dibuat sebelum kerja-kerja pembaikan
laluan ke gunung Kinabalu dan kerosakan lain dilakukan berikutan
kejadian gempa bumi pada 5 Jun lepas.
Tragedi gempa bumi berskala 5.9 Richter itu telah mengegarkan Sabah
sekali gus meragut 18 nyawa serta mengakibatkan kerosakan harta benda di
kawasan terjejas bencana, terutama di Ranau.
Daripada 18 mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu,
sembilan daripadanya adalah warga Singapura, enam warga Malaysia,
seorang masing-masing dari Jepun dan China manakala seorang merupakan
warga Filipina yang menjadi residen tetap di Singapura. – BERNAMA