![]() |
Gambar Hiasan |
KEWUJUDAN kedai penjualan rokok elektronik tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di negara ini.
Malah, pengusaha rokok elektronik di negara ini mendapat pulangan
lumayan apabila produk tersebut dieksports ke Jepun dan Taiwan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengambil berat mengenai
peningkatan trend penggunaan alat tersebut dikalangan remaja bawah umur
di negara ini.
Industri rokok elektronik di Malaysia merupakan yang kedua terbesar
di Malaysia selepas Amerika Syarikat (AS) selain dianggap sebagai
industri terbesar di Asia.
Perkara itu didedahkan Ibrahim Mohamed, penganjur bersama Konvesyen Vaporizer Kuala Lumpur 2015, baru-baru ini.
Anggaran tersebut adalah berdasarkan permintaan terhadap produk rokok elektronik buatan Malaysia.
Vaper atau pengguna rokok elektronik akan menggunakan sistem
penghantaran nikotin elektronik (ENDS) atau e-rokok untuk menyalurkan
cairan kimia berwap ke dalam paru-paru mereka.
Setiap alat itu mempunyai sistem pengewapan elektronik dan kawalan,
bateri boleh cas semula dan katrij mengandungi pelbagai cecair nikotin
yang akan menghasilkan wap.
Apabila pengguna menyedut rokok e-elektronik, cip elektronik akan mengesan pengaliran udara di dalamnya.
Ibrahim berkata, trend ini bermula di Lembah Klang dan Johor tetapi semakin berkembang di Ipoh, Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau percaya terdapat satu juta vaper di seluruh negara dengan kira-kira 10 peratus daripadanya berusia di bawah 18 tahun.
“Kami mempunyai 35,000 tetamu yang menghadiri konvesyen vaporiser yang pertama di Malaysia.
“Terdapat sekurang-kurangnya 1,000 kedai menjual produk tersebut di
seluruh negara dengan lebih 400 alat rokok elektronik tempatan dan
pelbagai jenis cairan nikotin.
“Produk buatan Malaysia mempunyai permintaan tinggi dari negara luar,” katanya.
Beliau berkata rokok elektronik versi premium boleh mencecah RM4,000
dengan cairan nikotin berkualiti berharga RM300 setiap 30ml.
Walaupun kebanyakan ibu bapa berpandangan bahawa ia sekadar satu
trend remaja, vaper mendakwa ia boleh membantu perokok untuk berhenti
merokok.
Aimran Abdul Rajak, rakan kongsi di Vape Empire, pengedar terbesar
produk tersebut di negara ini berkata, pasaran di Malaysia mungkin lebih
besar berbanding AS dan sedang berkembang dari segi jenama dan produk
yang dijual.
Katanya, kos bagi kit permulaan berharga antara RM200 dan RM400.
“Ia adalah satu industri yang besar, bukan bersifat sementara,” katanya.
Beliau berkata vaping mempunyai ramai pengikut di sini walaupun
kekurangan pengiklanan kerana ia membantu perokok seperti dirinya untuk
meninggalkan tabiat itu.
Kini, pengedar mempunyai beratus-ratus penjual dibawah mereka dan mengambil pesanan melalui media sosial atau telefon bimbit.
Ibrahim turut menggesa agar produk tersebut dikawal selia seperti industri alkohol.
Katanya, keadaan pada hari ini semakin berbahaya kerana kita tidak
tahu siapa yang membeli, menjual, membuat rokok elektronik dan cairan
nikotin.
Aimran, bagaimanapun, merasakan bahawa hanya cairan yang mengandungi nikotin perlu dikawal selia.
Dia berkata, cairan tersebut diperbuat daripada bahan tambahan pada makanan biasa.
“Sekiranya ‘apa sahaja yang pelik’ dicampur, ia tidak akan menghasil wap ketika disedut.
“Kita memerlukan beberapa jenis peraturan kerana vaping benar-benar
boleh menyumbangkan kepada sektor kesihatan dan ekonomi,” katanya.
Walaupun menyedari kesan jangka panjang vaping tidak diketahui, dia berkata, kesan negatif rokok telahpun didokumenkan.
“Jadi, tidakkah vaping menjadi alternatif yang lebih baik?,” soalnya. – mStar