Rombakan Kabinet? Ini Nama-Nama Yang Terlibat?

Sebuah portal semalam menjangka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan besar akan melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran selepas Aidilfitri ini.

Tulis berkenaan mendakwa Najib dijangka akan bersikap tegas ekoran tiada pilihan lain untuk kembali mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap beberapa Menterinya yang dilihat seolah "beban" yang perlu digugurkan dan diganti dengan yang lebih berkesan.

"Najib sudah tidak ada pilihan. Untuk mengukuhkan keyakinan rakyat kepada kepimpinannya beberapa Menteri yang dianggap sebagai ‘beban’ perlu digugurkan segera dan diganti dengan mereka yang lebih fresh dan energetik.

"Ini termasuk menukar portfolio beberapa menteri yang suka ‘playsafe’," tulis portal berkenaan.

Lebih berani lagi, portal berkenaan turut menyebut beberapa nama Menteri yang berkemungkinan akan digugurkan seperti Datuk Hassan Malik, Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Antara yang mungkin akan digugurkan ialah Datuk Hassan Malik, Nazri Tan Seri Aziz, Tengku Adnan Mansor dan Shahidan Kassim," tulisnya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula turut dijangka akan ditukar ke portfolio lain ekoran kegagalan Ketua Pemuda UMNO itu mengendalikan kementerian yang beliau ketuai.

"Beberapa orang Menteri pula akan ditukar portfolio mereka seperti Khairy Jamaludin yang dianggap prestasinya sebagai Menteri Belia dan Sukan agak kurang menyerlah.

"Kegagalan negara dalam berbagai bidang sukan sejak beliau menjadi Menteri menjadi puncanya. Kejayaan kontijen negara di sukan SEA di Singapura baru baru ini dilihat bukan kejayaan beliau.

"Khairy juga dilihat gagal dalam program pembangunan belia negara," dakwa portal berkenaan.

Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Maslan juga dikatakan akan bertukar ke kementerian lain.

"Shafie Afdal turut akan bertukar portfolio. Komen komen beliau mengenai isu 1MDB dan pertelagahan beliau dengan Ketua Menteri Sabah menjadikan beliau bukan lagi Menteri yang sealiran dengan Najib.

"Isu pembelian hartanah oleh MARA Incorporation di Australia yang menjadi senjata baru kepada pembangkang, menjadikan kedudukan beliau semakin panas.

"Usaha beliau menjemput Najib merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilanan UMNO Bahagian Semporna Ogos nanti tidak akan menyelamatkan kedudukan beliau apatah lagi sebagai Naib Presiden.

"Datuk Ahmad Maslan juga mungkin bertukar portfolio. Beliau menjadi tidak popular kerana sering membuat kenyataan yang mendahului kabinet dan Menteri yang bertanggungjawab terutamanya dalam isu GST," tulisnya lagi.

Pun begitu, portal tersebut juga menjangka Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim adalah antara nama yang mungkin akan dibawa masuk ke dalam kabinet kerajaan selepas Hari Raya nanti.

Antara beberapa nama yang dijangka naik pangkat ialah Datuk Razali Ibrahim. Kalau Datuk Azizah Mohd Dun tidak naik pangkat mungkin Najib akan melantik seorang wanita muda menjadi Senator untuk menyertai kabinet beliau.

Menimbulkan tanda tanya, antara nama lain yang disebut terlibat dalam rombakan kabinet berkenaan adalah Datuk Anuar Manap (Sekijang), Datuk Ir Nawawi Ahmad(Langkawi), Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (Kelantan) dan Datuk Irmohizam Ibrahim (Selangor).

Dikatakan bakal turut tersenarai ialah beberapa senator seperti Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (Negeri Sembilan) dan Datuk Asyraf Wajidi Dusuki (Kelantan).

Portal berkenaan juga memberikan ulasan ringkas mengenai jangkaan tersebut berkenaan tindakan yang dikatakan bakal dilakukan oleh Perdana Menteri itu.

"Rombakan kabinet akan menjadikan Najib lebih ‘In Command’ bagi menghadapi PRU ke 14. Ini juga akan mematikan sebarang usaha untuk melemahkan kepimpinan beliau dari dalam.

"Keberanian Najib mencabar mana mana anggota kabinet supaya meletak jawatan jika tidak lagi dapat bersama dengan beliau dalam menangani isu 1MDB membawa impak besar. Suara suara sumbang sudah tidak kedengaran.

"Bahkan pendirian majoriti Ketua Bahagian UMNO supaya pemilihan parti 2016 ditangguhkan mematikan sebarang usaha untuk menentang kepimpinan beliau. Difahamkan survey pendirian Ketua Bahagian itu dibuat melalui kumpulan Telegram mereka.

Turut diulas mengenai tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini menyerang Najib berhubung isu 1MDB yang dipercayai berasaskan dakwaan tidak benar sebuah portal pro-pembangkang, Sarawak Reports.

"Sejak pihak pengurusan 1MDB lebih terbuka menjawab satu demi satu dakwaan Tun Mahathir kononnya wujud kepincangan dalam 1MDB, tekanan supaya Najib meletak jawatan semakin kendur. Bahkan langkah rasionalisasi 1MDB seperti yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan 2 dapat menangkis dakwaan bahawa 1MDB adalah syarikat pelaburan kerajaan yang gagal.

"Ternyata pihak yang memburuk-burukkan 1MDB sebagai senjata untuk menjatuhkan Najib banyak menggunakan maklumat daripada Sarawak Post. Penangkapan Xavier Andre Justo bekas Eksekutif Petrosaudi oleh Pihak Polis Thailand mengukuhkan lagi kredibiliti Najib dan 1MDB.

"Xavier Justo telah dipecat oleh Petrosaudi iaitu rakan kongsi 1MDB. Beliau banyak memberikan maklumat palsu kepada Sarawak Report yang beroperasi di London untuk tujuan memeras ugut bekas majikannya. Laporan Sarawak Report inilah yang menjadi sumber rujukan kepada Tony Pua dan yang lain lain untuk menyerang Najib dan Kerajaan," tulisnya.

Namun apa yang mengejutkan Kedahnews.com, portal berkenaan meninggalkan persoalan yang agak tergantung, membayangkan seolah-olah rombakan kabinet oleh Najib itu juga akan melibatkan jawatan Menteri Besar.

"Satu lagi isu ialah, apakah akan ada Menteri Besar yang akan diganti sebelum PRU ke 14? Tunggu dan lihat," tulis portal tersebut menjadikan kami berasa "seram sejuk"!  -Kedahnews.com