LUNAS - Dua sahabat mengalami kerugian hampir RM30,000 apabila sebahagian rumah dan sebuah kereta mereka dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang dalam kejadian ribut di Taman Sejahtera Jaya, pagi, kelmarin.
Menurut Zuraini Ishak, 39, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, dia
sedang tidur bersama anaknya di dalam bilik dan tersedar selepas
terdengar bunyi dentuman di luar rumah.
"Selepas terdengar bunyi dentuman kuat di atas bumbung rumah, saya
terus keluar dari rumah dan terkejut melihat pokok kelapa sawit yang
ditanam kira-kira lima meter dari pintu pagar rumah tumbang,” katanya
kepada Sinar Harian.
Katanya, pokok kelapa sawit itu menghempap sebuah kereta Mitsubishi
Mirage milik rakannya, bahagian bumbung tempat letak kereta selain
menyebabkan sebahagian tingkap kaca rumah pecah.
“Saya tidak sangka pokok itu tumbang, habis kereta kawan saya rosak.
Namun bernasib baik kerana kereta Perodua Myvi saya yang diparkir
bersebelahan hanya calar,” katanya.
Rakannya, Norazlina Mohd Noor, 45, berkata, keretanya itu dibeli dua
tahun lalu dan digunakan untuk berulang alik dari tempat kerja.
Menurutnya, akibat kejadian itu, dia terpaksa membeli tiket untuk pulang ke kampung menyambut lebaran tidak lama lagi.
“Sedih memang sedih, tapi nak buat macam mana benda sudah jadi. Hari
ini, saya terpaksa pergi ke kaunter bas cari tiket untuk balik ke
kampung di Terengganu nanti,” katanya.
Sumber: Sinar Harian