MT Orkim Harmony |
KUALA LUMPUR – Kesemua 22 anak kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya
dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi ini, menurut Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM).
Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Datuk Ahmad Puzi berkata
pembebasan kru kapal itu adalah menerusi rundingan Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan.
Beliau berkata kapal MT Orkim Harmony akan dibawa ke Pelabuhan Kuantan dan dijangka tiba seawal 6 petang ini.
“Bagaimanapun, seorang daripada anak kapal berkenaan mengalami cedera
ringan dan akan dihantar ke hospital berdekatan sama ada di Kuantan
atau Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama
hari ini.
Sementara itu, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar
ketika dihubungi berkata perampas bagaimanapun berjaya melarikan diri
menaiki bot penyelamat kapal berkenaan.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai
RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika
dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa
22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang
Myanmar. – BERNAMA