Saiful Bukhari Kemuka 3 Sebab Tarik Balik Saman RM50 Juta Terhadap Anwar

ALOR SETAR - Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan mengejutkan seluruh negara semalam apabila bertindak menarik kembali tuntutan samannya berjumlah RM50 juta terhadap bekas majikannya itu.

Lantas, timbul persepsi negatif tentang keputusan yang dibuat Saiful Bukhari sehingga dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

Bagi menjelaskan tindakannya menarik balik kes saman tersebut, melalui blog peribadinya mohdsaifulbukhari.blogspot.com, Saiful Bukhari menyenaraikan tiga punca tindakan tersebut diambil.

Saiful Bukhari mengaku bahawa proses perundangan mengambil masa terlalu panjang, lantas menyebabkan dia tidak mempunyai sokongan kewangan kuat untuk membiayai kos guaman yang tinggi.

“Perlu bergadai harta dan masa untuk turun naik Mahkamah. Cukuplah 7 tahun saya melalui proses perundangan turun naik Mahkamah untuk membuktikan kebenaran laporan polis yang saya buat pada tahun 2008. Saya mahu terus ke hadapan,” tulisnya.


Seterusnya Saiful Bukhari menyatakan, laporan polis yang dibuat terhadap Anwar telah terbukti benar setelah kelima-lima hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menyabitkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pau itu dengan kesalahan meliwat.

Saiful Bukhari turut berkata, dia bertindak menarik balik saman tersebut kerana tidak mahu proses perbicaraan sivil yang mungkin berlangsung, dieksploitasi pihak-pihak tertentu.

Sebelum ini, Saiful Bukhari telah memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM50 juta terhadap Anwar kerana meliwatnya pada 23 Jun 2014. -Kedahnews.com