ALOR SETAR - Saki baki suspek pelancong asing yang didakwa berbogel di puncak Gunung Kinabalu dilaporkan agak licik mengelak dari dikesan untuk ditahan polis dengan menggunakan taktik samaran.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, usaha pihak berkuasa menjejaki suspek- suspek tersebut berdepan kesulitan
berikutan ada dalam kalangan pendaki menggunakan status
kewarganegaraan yang mengelirukan.
"Perkara ini terbongkar
apabila salah seorang suspek wanita warga Britain berusia 24 tahun yang
ditahan di Lapangan Terbang Tawau, Sabah, semalam menunjukkan keterangan
warganegara berbeza berbanding rekod diperolehi daripada yang
diperolehi menerusi maklumat yang diberikan Taman-Taman Sabah (TTS).
"Wanita ini adalah warga Britain tetapi mengaku sebagai warga Denmark ketika mendaki gunung berkenaan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro, semalam.
Berikutan pemalsuan identiti tersebut telah menyebabkan pihak polis berdepan kesukaran apabila nama yang direkodkan tidak betul.
Semalam, polis telah menahan reman empat warga asing selama empat
hari bermula semalam selepas mereka disyaki berbogel dan membuang air
kecil di puncak gunung yang dianggap sebagai tempat suci oleh masyarakat
Kadazan Dusun. -Kedahnews.com