Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar Ditawar Jawatan AJK PAS Pusat Sahaja

ALOR SETAR - Bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Taufek Abdul Ghani dilapor menerima surat lantikan jawatan dari PAS Pusat.

Lantikan tiga pemimpin yang tewas dalam pemilihan PAS tersebut difahamkan telah dibuat menerusi surat tawaran dan PAS Pusat belum menerima sebarang penolakan dari ketiga-tiga pemimpin yang terpilih itu.

Bagaimanapun, lantikan mereka itu hanya melibatkan lantikan bagi jawatan AJK PAS Pusat sahaja.

"Surat pelantikan itu dihantar secara formal, kita (juga) ada hubungi melalui telefon dan sebahagiannya kata (yang dilantik) tunggu surat dulu dan buat keputusan dan tidak ada penolakan setakat ini,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya, semalam.

Menurut Timbalan Presiden PAS itu, surat-surat lantikan tersebut sudah dihantar sejak minggu lalu dan sehingga kini masih belum ada penolakan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa Datuk Mustafa Ali yang sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha Agung  PAS, kini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan bahawa PAS Pusat telah menerima surat peletakan jawatan Mazlan Aliman yang menggugurkan diri dari jawatan AJK PAS Pusat dan kekosongan tersebut akan digantikan dengan calon lain yang layak.

“Peletakan jawatannya diterima. Masih ada satu kekosongan dan akan diganti,” katanya Timbalan Presiden PAS yang mengalahkan Mohamad Sabu itu.

Mazlan sebelum ini meletak jawatan AJK PAS Pusat yang dimenanginya serta merta dan memberi alasan mahu fokus kepada NGO yang diketuainya, namun sempat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perwakilan PAS dalam proses pemilihan parti itu. -Kedahnews.com