SHAH ALAM - Sebuah satelit yang dibina oleh Nasa dan Jepun untuk
mengesan hujan dijangka akan jatuh ke bumi esok, menurut laman web rasmi
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (Nasa).
Satelit yang dinamakan sebagai satelit Misi Mengukur Hujan Tropika
(TRMM) yang dibina oleh Nasa dan Japan Aerospace Exploration Agency
(JAXA) untuk mengukur jumlah hujan di bumi itu sekarang berada 100
kilometer daripada bumi.
Menurut laman web rasmi Nasa, Amerika Syarikat Space Surveillance
Network, yang dikendalikan oleh jabatan angkasa yang beroperasi bersama
Pertahanan AS, pihaknya memantau kedudukan TRMM sejak misi itu berakhir
pada bulan April lalu.
“Kebanyakan satelit dan kapal angkasa yang memasuki atmosfera bumi akan terbakar, dan ia tidak boleh dikawal,
“Pusat Operasi Angkasa Lepas akan mengeluarkan ramalan berkala tarikh
kemasukannya, namun lokasi sebenar kawasan kejatuhannya tidak dapat
diramalkan, TRMM hanya akan jatuh ke kawasan tropika antara 35 darjah
Utara dan latitud 35 darjah latitud Selatan,” petik kenyataan rasmi
Nasa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr
Noordin Ahmad berkata, Nasa akan memberi maklumat setiap tiga jam kepada
seluruh agensi angkasa dunia termasuk Malaysia untuk memaklumkan
mengenai perkara ini.
“Pihak Nasa akan sentiasa mengemaskini maklumat mereka setiap tiga jam,
kerana sekarang pihak Nasa sendiri tidak pasti keberadaannya.
“Kalau ikut rekod selama ini tidak pernah berlaku di mana manusia
terkena pada bahan-bahan serpihan-serpihan ini sepanjang sejarah satelit
masuk kedalam bumi ini , kalau ikut Nasa peratusan itu hanya dua
peratus, kerana kebanyakkannya akan jatuh kedalam laut.
“Oleh itu rakyat Malaysia tidak perlu panik, tidak ada yang pernah
berlaku terkena pada serpihan tak pernah lagi!... rekod terdahulu
satelit yang jatuh dekat dengan Malaysia adalah di utara Lautan Hindi,
Australia kawasan itu berhampiran Malaysia dan Indonesia," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, jika satelit itu terbakar ia tidak boleh dikawal lagi.
“Satelit itu dilancarkan pada 35 darjah ini dikira sebagai kawasan
tropikalah, termasuk Malaysia selatan Jepun sampai ke Australia 35
darjah lah, bila ia masuk kawasan bumi ini ia akan terbakar, apabila ia
terbakar tak ada orang boleh kawal… tetapi ada sebahagian daripada
satelit itu tidak terbakar terutama yang dibuat daripada titanium.
“Titanium ini besi yang lebih keras daripada besi... ia tidak terbakar,
kalau ikut pemantauan, tidak banyak negara yang boleh pantau ia kerana
ia perlukan radar yang canggih dan kuat untuk tembak ke udara bagi
mendapatkan lokasi yang sebenarnya… saya rasa negara Amerika Syarikat
yang punyai teknologi itu, Amerika yang dapat lihat kedudukan ia
sekarang.
“Agensi Angkasa kita boleh berhubung dengan mereka untuk dapatkan maklumat dan mereka akan maklumkanlah bila ia masuk ke bumi .
“Kita akan uar-uarkan maklumat dari semasa ke semasa, oleh itu rakyat
Malaysia jangan panik cuma perlu ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
TRMM yang berusia 17 tahun mempunyai berat hampir 3 tan, dilancarkan
dari Tanegashima, Jepun pada 27 November 1997 bagi misi yang dirancang
hampir tiga tahun. Ia ditutup pada 15 April tahun ini.
Sumber: Sinar Harian