"Saya Belum Jadi Pengerusi MARA Ketika Itu" – Annuar

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa menegaskan pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne, Australia oleh agensi itu dilakukan sebelum beliau dilantik sebagai Pengerusi MARA.

Menurutnya, pembelian aset itu dibincangkan pada tahun 2012 dan diluluskan Majlis MARA pada 21 Februari 2013 sedangkan beliau dilantik sebagai Pengerusi MARA pada akhir 2013.

“Oleh kerana masa itu saya belum menjadi Pengerusi MARA dan terlibat dengannya. Maka sekarang saya terpaksa banyak membaca dan meneliti rekod rekod lama bagi membolehkan saya mamahaminya.

“Penelitian ini telah beberapa lama saya buat walau kadang kala sukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemimpin DAP dan PAS hari ini mendesak supaya Annuar dipecat kerana didakwa bertanggungjawab dalam isu pembelian hartanah tersebut.

Akhbar The Age sebelum ini mendakwa pegawai-pegawai Mara terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.7 juta) bagi pembelian pangsapuri yang dijadikan kediaman pelajar Malaysia di Australia.

Annuar dalam pada itu memberi jaminan beliau akan menjalankan siasatan ke atas isu tersebut tanpa takut atau menyebelahi mana-mana piha.