"Secara Teknikal, MAS Telah Pun Muflis" - Mueller


KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) dari segi teknikal sudah jatuh muflis, kata CEO baharunya pada Isnin ketika beliau memberikan perincian tentang rancangan untuk menstabilkan syarikat yang dilanda kerugian besar.

“Kami dari segi teknikal telah pun muflis, dan prestasi syarikat sudah merosot lama sebelum dua tragedi udara berlaku pada 2014,” kata Christoph Mueller, merujuk kepada tragedi pesawat MH370 dan MH17 tahun lalu.

Di bawah kepimpinan beliau, MAS bermula pada 1 Jun mula menghantar surat pemberhentian kerja kepada kesemua 20,000 kakitangan sedia ada dan ini termasuk memberhentikan secara muktamad 6,000 pekerja.

Daripada jumlah itu, 14,000 ditawarkan semula kontrak kerja untuk menyertai syarikat baharu dikenali MAS Berhad, yang dijangka akan mula beroperasi pada bulan September depan, jelas Mueller, seorang warga Jerman.


Bercakap kepada pemberita, beliau berkata langkah pembuangan 6,000 pekerja itu perlu kerana syarikat tersebut sejak sekian lama menanggung beban kos 20 peratus lebih tinggi daripada pesaing-pesaingnya selama ini.

Di bawah pimpinan Mueller, 52 tahun; MAS merancang untuk mencergaskan semula perniagaannya mulai 1 September dengan kempen penjenamaan baharu; susulan imejnya tercalar akibat tragedi MH17 dan MH370.

Selain mengurangkan jumlah pekerjanya, di bawah rancangan rombakan empat tahunnya, syarikat penerbangan itu akan mengurangkan rangkaian laluan penerbangannya dan menyusun semula organisasi dan operasinya.

Mueller, bekas juruterbang dan warga asing pertama menerajui MAS juga menjelaskan kekeliruan bahawa mereka akan kekal sebagai syarikat penerbangan antarabangsa, bukannya serantau seperti jangkaan pelbagai pihak. – AFP