"Sedia Lawan DAP Di Pilihanraya, Bekerjasama Dengan Kerajaan Persekutuan" - PAS

ALOR SETAR - Selepas sebulat suara meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP, PAS kini membayangkan akan meletakkan calon bertanding di kerusi tradisi milik sekutu pakatan pembangkang tersebut.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menegaskan bahawa partinya sedang membina kembali kekuatan untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu dan bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak.

"Peranan yang dimainkan oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menjadi semakin penting, disamping PAS mula meneroka hubungan persefahaman dengan kaum peribumi Sabah dan Sarawak.

"Tidak mustahil PAS akan mula meletakkan calon di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu yang menjadi kerusi tradisi DAP," katanya menerusi kenyataan yang dipetik dari sebuah portal, semalam.

Hubungan dua sekutu pakatan pembangkang disifatkan sebagai "retak menanti belah" apabila Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada Sabtu lalu meluluskan usul tergempar dari Dewan Ulama PAS bagi memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP tanpa bahas.

Bagaimanapun, PAS tetap dengan pendirian berkeras mahu kekal dalam pakatan itu bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas lanjut, Zuhdi yang dipilih perwakilan sebagai AJK PAS PUsat dalam pemilihan parti itu pada Khamis lalu berkata, PAS juga terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan semua pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional).

"PAS semakin bersedia untuk menghadapi senario politik Malaysia yang sedang menuju kepada sistem pelbagai parti seperti yang sedang berlaku di kebanyakan negara membangun.

"Diyakini dalam beberapa tahun mendatang tiada parti atau gabungan yang boleh membentuk kerajaan yang stabil tanpa sokongan parti atau gabungan yang lain.

"Oleh sebab itu, PAS seharusnya menjadi parti yang bersikap terbuka kepada semua pihak sesuai dengan 'Islam sebagai rahmat kepada semua'," ujarnya bersahaja.

Selain itu Zuhdi turut menyeru kepada semua ahli PAS di seluruh negara supaya yakin dengan kepimpinan baharu parti itu yang turut dianggotai golongan profesional dari pelbagai latar belakang.

"PAS akan menjadi sebuah gerakan Islam yang lebih terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat perjuangan Islam dan maslahah rakyat.

"Pendek kata, para pendukung PAS perlu bersiap sedia untuk bersama saf kepimpinan baru untuk menjadikan PAS sebagai pencatur utama  atau king maker kepada politik Malaysia," kata pemimpin pro-ulama itu. -Kedahnews.com