SEGERA: DAP Umum Riwayat Pakatan Rakyat Sudah Tamat!

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
ALOR SETAR, 16 Jun 2015 - DAP hari ini mengejutkan ramai pihak apabila bertindak mengumumkan bahawa riwayat Pakatan Rakyat telah tamat sekaligus menuding jari pada PAS yang dikatakan menjadi punca berakhirnya gabungan antara parti politik pembangkang itu.

Penegasan tersebut diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataannya yang dipetik dari sebuah portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com.

"Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh muafakat tiga parti serta terikat dengan rangka dasar bersama, usul muktamar PAS secara berkesan telah menamatkan Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat justeru tidak lagi wujud,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Guan Eng dalam kenyataannya memaklumkan bahawa DAP menerima keputusan muktamar PAS yang sebulat suara meluluskan usul Dewan Ulama PAS yang mahu parti tersebut memutuskan hubungan dengan DAP.

Selain itu, Setiausaha Agung DAP itu turut cuba mempersalahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan gagal mematuhi kepada keputusan majlis pimpinan Pakatan Rakyat, bermula dari krisis yang melibatkan jawatan Menteri Besar Selangor.

Guan Eng dalam kenyataannya juga membangkitkan persoalan mengenai perlaksanaan pindaan enakmen jenayah syariah negeri Kelantan berkenaan hudud yang diperjuang PAS dengan kerjasama UMNO, meskipun undang-undang itu tidak melibatkan golongan bukan Islam.

Malah anak lelaki Penasihat DAP itu juga sempat menyelitkan spekulasi yang mengatakan Abdul Hadi sedia membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO walaupun desas-desus itu dinafi keras oleh PAS sebelum ini.

Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 di atas satu titik persamaan iaitu 'mahu menumbangkan Barisan Nasional' menerusi pilihanraya, malangnya parti-parti yang membentuk gabungan itu disifatkan memperjuang dasar yang sangat bertentangan. -Kedahnews.com