Sekampung Kongsi Air Perigi Sejak 28 Tahun

Penduduk menunjukkan telaga tiub yang digunakan sejak 1987.
RANTAU PANJANG - Biarpun peredaran masa banyak mengubah kemajuan negeri, namun tidak di dua kampung di sini, apabila terpaksa berkongsi sumber air dari satu perigi sejak 28 tahun lalu.

Keadaan semakin rumit ketika musim kemarau, menyebabkan satu-satunya sumber air kering sejak Februari lalu, sekali gus memaksa penduduk mengambil bekalan air dari parit air berdekatan sawah dan rumah saudara terdekat.

Penduduk, Yaacob Mahmad, 63, berkata, dianggarkan 220 penduduk terpaksa bergantung kepada bekalan air dari telaga tiub yang disediakan Jabatan Kesihatan Malaysia sejak 1987 lalu.

Menurutnya, perigi berkenaan banyak berjasa kepada penduduk kerana ia dibina di tengah-tengah padang untuk kegunaan penduduk dari dua kampung.

“Walaupun air berkenaan digunakan penduduk Kampung Lubok Nibong dan Kampung Mengkirim, namun ia tak pernah kering.

“Namun sejak beberapa tahun lalu, ketika musim kemarau ia mula kering dan tidak dapat menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Yaacob berkata, penduduk terpaksa menggali perigi berkenaan beberapa meter lebih dalam, berbanding lebih kurang enam meter sebelum ini.

Kemarau terpanjang

Sementara itu, penduduk, Mat Nain Ab Ghani, 48, berkata, penduduk sudah bersiap sedia menghadapi musim kemarau memandangkan ia sering berlaku pada pertengahan tahun.

Kebiasaannya, penduduk akan menyimpan air untuk digunakan pada Februari hingga April namun kemarau kali ini, adalah yang terburuk berlaku di kampung ini.

“Sebelum ini, penduduk pernah menggali perigi sedalam sembilan meter pada 1966 lalu, namun ia juga kering dan tidak dapat menampung keperluan penduduk.

“Ketika itulah kerajaan membantu menyalurkan bekalan dengan membina telaga tiub untuk keperluan penduduk,” katanya.

Telaga tiub yang baharu dibina bagi menampung keperluan penduduk semakin bertambah.
Mat Nain berharap, kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu agar penduduk tidak perlu menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air setiap tahun, menjelang musim kemarau.

Tanggung kos beli air

Sementara itu, peniaga kerepek di Kampung Lubok Nobong, Sulawati Yaacob berkata, dia terpaksa membeli lebih 10 botol air untuk keperluan memasak.

Menurutnya, dia menghabiskan wang sebanyak RM150 sehari untuk tujuan tersebut.

“Ada juga pekerja yang membantu dengan membawa air dari rumah untuk melancarkan kerja memasak.

“Saya sepatutnya mengurangkan kos pengeluaran tetapi keputusan bekalan air menyebabkan kos meningkat dan tidak dapat menjana keuntungan kerana saya menjual kerepek semurah RM2 sebungkus,” katanya.

Mohon bantuan AKSB

Bagi mengatasi masalah itu, penduduk memohon pihak Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB).

Penduduk berkata, musim cuti sekolah dan menjelang Ramadan ini, penduduk memerlukan bekalan air yang lebih banyak.

Sementara itu, Pengurus Besar AKSB, Ir Hanafi Mahmood berkata, penduduk perlu membuat permohonan rasmi dengan Air Bekalan Negeri atau menerusi permohonan kerajaan negeri.

Buat masa ini, katanya, pihaknya memerlukan peruntukan yang agak tinggi bagi membina paip yang panjang untuk disalurkan dari rumah ke rumah.

Sumber: Sinar Harian