ALOR SETAR – Pondok pengawal sebuah sekolah rendah di Sungai Petani
yang seorang gurunya dikaitkan dengan dakwaan menyuruh murid bukan Islam
meminum air kencing sendiri, dibaling dengan molotov cocktail malam
tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata
berikutan itu dua lelaki tempatan berusia antara 20-an dan 30-an telah
ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata motif kejadian sedang disiasat di bawah kesalahan mendatangkan bencana dengan api.
Aduan dibuat Selasa lepas yang mendakwa penolong kanan sekolah itu
semasa perhimpunan telah menyuruh murid bukan Islam agar tidak minum di
dalam kelas semasa bulan puasa tetapi minum air di tandas sekolah dan
sekiranya tidak mempunyai air, mereka boleh minum air paip ataupun air
kencing sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya
Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain menafikan aduan itu dengan berkata
guru terbabit hanya meminta murid bukan Islam supaya menghormati murid
Islam supaya tidak minum di hadapan mereka sebaliknya pergi ke tandas
untuk minum. – BERNAMA