Sekolah Kebangsaan (SK) Tikam Batu Johan Kawad Kaki

Gambar atas: Faizal (kiri) dan guru besar, Zamuri Ladening (kanan) bersama beberapa murid TKRS yang menjadi johan peringkat negeri. Gambar bawah: Murid TKRS meneruskan latihan untuk persiapan pertandingan peringkat kebangsaan.
SUNGAI PETANI - Sekolah Kebangsaan (SK) Tikam Batu, di sini muncul johan Kawad Kaki Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) lelaki sekolah rendah peringkat negeri yang diadakan di Alor Setar, baru-baru ini.

Penolong Kanan Ko-kurikulum, Faizal Haedee Abd Hamid berkata, formasi kawad kaki yang kemas dan seragam memastikan pasukan SKTB unggul dan mengetepikan saingan hebat daripada pasukan lain membabitkan lapan daerah.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kesungguhan dan komitmen ditunjukkan oleh 40 peserta kawad kaki yang dipimpin oleh ketua platun, Mohd Safiuddin Nordin.

“Pasukan ini dilatih oleh tiga guru yang dedikasi iaitu Norbishah Hassan, Rahayu Ayub dan Zaity Ismail sehingga membolehkan SK Tikam Batu dinobatkan juara,” katanya.

Faizal berkata, kejayaan itu sesuai dengan moto sekolah Namamu Disebut Lagi akan terus dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“Kami akan mewakili Kedah bagi kategori TKRS rendah lelaki ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok tidak lama lagi.

"Saya berharap pasukan kawad kaki SK Tikam Batu akan terus mempamerkan kecemerlangan dan tidak gentar menghadapi setiap saingan di peringkat kebangsaan kelak," katanya.

Sumber: Sinar Harian