Sempat Beri Duit BR1M Pada Isteri Sebelum Mati Lemas Di Alor Setar


ALOR SETAR – Seorang warga emas sempat memberi wang BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang diterimanya kepada isteri untuk kegunaan harian sebelum ditemui mati lemas, semalam.

Mangsa yang berusia lingkungan 60-an ditemui lemas kira-kira jam 7 pagi di terusan dekat Kampung Kubang Panggas, di sini.

Menurut saksi kejadian, Zuraini Mat Hussin, 48, mangsa kebiasaannya akan pulang ke rumah sekitar 5 pagi selepas bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah tapak pembinaan berdekatan.

“Semasa kejadian, penduduk kampung ternampak motosikal dan kasut mangsa ditinggalkan di tepi terusan, tetapi pemiliknya tiada.

“Kami cuba mencari mangsa di kawasan sekitar sebelum kelihatan dia terapung di permukaan air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. -Sinar Harian