JASIN – Semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) perlu
mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum ia
diterbangkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata kelulusan itu penting bagi memastikan penggunaan dron
atau UAV di negara ini terkawal dan tidak menjejaskan penerbangan
pesawat di ruang udara negara terutamanya di kawasan lapangan terbang.
Sehubungan itu, beliau berkata DCA akan membuat kajian menyeluruh
berhubung perkara itu dan melaksanakan penguatkuasaan pendaftaran untuk
penggunaan dron atau UAV dengan secepat mungkin.
“Pada masa ini beberapa siri penerangan dan dialog giat dijalankan di
peringkat negeri sebelum kita mengeluarkan sebarang peraturan
keselamatan yang baharu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian Karnival Udara
Antarabangsa Sungai Rambai 2015 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka
Datuk Seri Idris Haron dan disertai 184 pesawat persendirian di
Aerodrome Sungai Rambai di sini.
Liow berkata pemilik dan peminat pesawat persendirian diingatkan agar
sentiasa peka dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang
ditetapkan oleh DCA bagi menjamin keselamatan ruang udara negara.
Sementara itu, beliau berkata landasan Lapangan Terbang Antarabangsa
Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini, akan ditambah kira-kira 400
meter bagi memudahkan pendaratan pesawat komersial.
Liow, bagaimanapun berkata kerja menaik taraf landasan berkenaan
masih di peringkat perbincangan kerana ia membabitkan pengambilan tanah
penduduk di kawasan tersebut.
“Usaha ini diharap dapat menarik lebih banyak pesawat komersial untuk
mendarat di situ kerana saya difahamkan lima lagi syarikat penerbangan
berminat untuk melakukan penerbangan di lapangan terbang berkenaan,”
katanya.
Dalam pada itu, Liow berkata LTAM adalah antara lapangan terbang
penting bagi industri pelancongan serta ekonomi Melaka dan dijangka
dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi KLIA dan Lapangan
Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Sementara itu, katanya Kementerian Pengangkutan telah meluluskan
peruntukan sebanyak RM1.6 juta bagi meningkatkan kemudahan di Aerodrome
Sungai Rambai, khususnya memasang lampu bagi membolehkan penerbangan
pada waktu malam. – BERNAMA