Sijil Halal: JAKIM Percepat Proses Menjelang Ramadhan


PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempercepatkan proses permohonan sijil halal kepada hotel dan restoran menjelang bulan Ramadan daripada tempoh 30 hari kepada kira-kira 15 hari.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak persatuan hotel dan restoran sejak tiga bulan lepas bagi memberi kemudahan kepada mereka untuk mengadakan majlis berbuka puasa.

“Apa sahaja yang disediakan oleh hotel atau restoran yang memerlukan pengesahan halal untuk pelanggan pada bulan Ramadan akan dipercepatkan.

“Mereka sudah diberi ruang untuk membuat permohonan. Jadi janganlah tunggu sehingga seminggu sebelum Ramadan baru hendak buat permohonan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program ‘Salam Kasih Ramadan’, di sini hari ini.

Program anjuran Islamic Aid Malaysia dan Radio Malaysia Jakim Salamfm itu akan mengunjungi lima rumah kebajikan di Selangor dan Perak untuk memberi keceriaan kepada anak-anak yatim melalui majlis berbuka puasa dan sahur yang akan turut disiarkan secara langsung di radio.

Menurut Othman, selain Bahagian Hab Halal, semua bahagian di bawah Jakim yang terlibat dengan aktiviti bulan Ramadan turut diarahkan untuk membuat persediaan sejak tiga bulan lepas.

“Terutama untuk melihat kembali kemudahan di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan dan di bawah seliaan Jakim seperti Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya bagi menampung jumlah jemaah yang ramai pada setiap malam,” katanya.

Selain itu, katanya persediaan untuk membantu golongan gelandangan pada bulan Ramadan turut tidak diketepikan.

Beliau berkata bahagian dakwah Jakim juga bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk membantu mereka dari segi keperluan makanan untuk sahur dan berbuka puasa. – BERNAMA